PRN Sabah: BN dan PH 'kunci' kerjasama – Ahmad Zahid

PRN Sabah: BN dan PH 'kunci' kerjasama – Ahmad Zahid

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan bahawa gabungan itu sudah ‘mengunci’ kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan kongsi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Beliau berkata, walaupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah mengesahkan kerjasama dengan PH, BN berpendirian untuk terus membuka pintu kerjasama dengan parti-parti atau gabungan lain di negeri itu bagi memastikan kemenangan.

“Kita sudah memuktamadkan perkongsian kolaborasi kita dengan PH.

“Ertinya, BN dan PH itu dikunci sebagai rakan kongsi di PRN Sabah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai GRS sah bekerjasama dengan PH dalam PRN Sabah.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau menghormati kesepakatan yang dicapai antara PH dan GRS.

“Manakala untuk PH dan GRS, adalah satu kesepakatan bersama antara mereka yang juga dimuktamadkan.

“Dan tentunya kita akan terus membuka pintu kerjasama BN-PH dengan parti-parti ataupun gabungan-gabungan lain untuk negeri Sabah.

“Kita lakukan kemurnian di dalam pilihan raya negeri Sabah nanti,” katanya.

DUN Sabah bagi penggal ke-16 akan terbubar sendiri pada akhir Oktober depan selepas genap tempoh lima tahun.

Jika DUN terbubar sendiri pada akhir Oktober depan, SPR mempunyai masa sehingga akhir Disember ini untuk mengadakan PRN17.

Kelmarin, Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan GRS akan meneruskan kerjasama politik dengan PH Sabah bagi menghadapi PRN yang akan datang.

Beliau dipetik berkata, pembahagian kerusi antara GRS dan PH masih di peringkat perbincangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top