Program baharu MBS, serah anjing terbiar hidup-hidup dapat insentif RM50

Program baharu MBS, serah anjing terbiar hidup-hidup dapat insentif RM50

Orang ramai berpeluang menerima insentif sehingga RM50 menerusi Program Pemberian Insentif Penyerahan Anjing Terbiar Secara Sukarela 2026 yang dianjurkan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Program dilaksana sebagai usaha kawal populasi

Menerusi hantaran di Facebook,  Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin menyatakan, program itu dilaksanakan sebagai usaha berterusan untuk mengawal populasi anjing terbiar, selain meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

Menurut beliau, insentif sebanyak RM50 ditawarkan bagi setiap anjing dewasa, manakala RM25 bagi anak anjing berusia bawah enam bulan.

“Syarat utama permohonan ialah warganegara Malaysia yang tinggal atau penduduk dalam kawasan MBS, anjing diserahkan dalam keadaan hidup, tiada kecederaan serius atau penderaan dan haiwan itu tidak berlesen atau tiada bukti pemilikan.
“Majlis tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan, kehilangan atau risiko yang berlaku kepada penyerah mahupun haiwan sebelum, semasa dan selepas proses penyerahan/kutipan dilaksanakan kepada pihak MBS.
“Kelulusan akan tertakluk kepada syarat dan peruntukan semasa MBS. Tarikh program berkenaan bermula 24 Ogos ini,” katanya.

Masri menambah, penyerahan perlu dilakukan secara terus kepada MBS mengikut tarikh dan lokasi yang ditetapkan.

“Pemohon akan dihubungi oleh MBS bagi pemberitahuan status permohonan dan penyerahan salinan borang permohonan penyerahan anjing yang disahkan dalam tempoh tujuh hari bekerja.
“Penyerahan anjing kepada Jabatan Kesihatan Persekitaran, Wisma MBS boleh dilakukan antara jam 9 pagi hingga 4 petang sahaja tertakluk kepada perubahan semasa dan pemakluman lanjut daripada pegawai MBS yang akan menghubungi pemohon,” katanya.

Program baharu MBS, serah anjing terbiar hidup-hidup dapat insentif RM50

Sebarang pertanyaan mengenai program berkenaan boleh diajukan kepada Jabatan Kesihatan Persekitaran, MBS di talian 06-7654246 atau 06-7654298.

Sumber: Facebook Majlis Bandaraya Seremban

Scroll to Top