Kuala Lumpur: Program Baucar Buku MADANI Fasa 2 yang bernilai RM100 untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mendapat sambutan luar biasa daripada mahasiswa di seluruh negara.
Dilancarkan pada 29 Oktober 2024 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Diraja Zambry Abdul Kadir, program ini bertujuan menyokong keperluan akademik pelajar IPT dengan memberikan akses lebih mudah kepada bahan bacaan berkualiti.
Sambutan menggalakkan ini jelas menunjukkan keberkesanan inisiatif dilaksanakan.
Penebusan baucar yang dijalankan melalui platform rasmi MySiswaPlace, adalah selari dengan visi YB Menteri Pendidikan Tinggi untuk menyediakan pusat sehenti digital bagi memudahkan pelajar mengakses pelbagai perkhidmatan, program ini bukan hanya mempermudah pembelajaran mahasiswa, tetapi juga memperkukuh ekosistem pendidikan di seluruh negara.
Platform ini mencatatkan peningkatan trafik yang luar biasa sejak pelancaran program, mencerminkan sambutan dan penerimaan tinggi pelajar terhadap inisiatif ini.
Data terkini menunjukkan hampir 500,000 baucar berjaya ditebus, dengan 60 peratus daripadanya adalah pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), 29 peratus dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), dan 10 peratus dari pelajar di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Peningkatan kadar penebusan ini bukan sahaja menunjukkan tahap kesedaran tinggi pelajar tentang manfaat program ini, tetapi juga mencerminkan komitmen mereka dalam memanfaatkan inisiatif yang disediakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan mereka.
Kejayaan ini turut disokong oleh lebih daripada 900,000 naskhah buku fizikal dan langganan e-buku yang berjaya dijual melalui platform MySiswaPlace.
Ini membabitkan kerjasama dengan lebih daripada 300 syarikat penerbit, pengedar dan penjual buku di seluruh negara.
Koleksi bahan bacaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai genre dan bidang, dari buku akademik hingga bahan rujukan profesional dan novel, yang sesuai dengan keperluan pendidikan pelajar IPT.
Dengan sokongan meluas daripada komuniti penerbit dan pengedar, program ini bukan sahaja menyediakan akses kepada bahan bacaan berkualiti, tetapi juga membantu memperkukuh industri penerbitan tempatan.
Jumlah penjualan dijangka akan terus meningkat dengan signifikan, terutama menjelang tarikh akhir program penebusan baucar buku pada 31 Disember 2024.
Permintaan yang tinggi daripada pelajar di seluruh negara mencerminkan keberkesanan usaha ini dalam memudahkan akses kepada bahan bacaan serta menyokong perkembangan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa.
Pelajar IPT di seluruh negara masih berpeluang untuk menebus Baucar Buku MADANI Fasa 2 melalui portal rasmi MySiswaPlace di mysiswaplace.my sehingga hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




