Program RIUH cipta lebih 15,000 peluang pekerjaan, jana jualan lebih RM10 juta

Program RIUH cipta lebih 15,000 peluang pekerjaan, jana jualan lebih RM10 juta

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Program RIUH sudah mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan dan menjana jualan melebihi RM10 juta kepada pemain industri kreatif.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sejak diperkenalkan pada 2017, lebih sejuta pengunjung menghadiri RIUH, membuktikan kreativiti bukan sahaja memberi inspirasi, malah mampu menyatukan kita semua.

Katanya, seperti tahun sebelumnya, Kementerian Komunikasi terus menyokong pelaksanaan program RIUH sebagai platform untuk memasarkan dan mempromosikan produk serta hasil ciptaan pemain industri kreatif tempatan.

“Sehingga kini, RIUH berjaya mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan kepada pemain industri, selain menjana jualan kumulatif melebihi RM10 juta daripada peniaga produk kreatif, makanan dan minuman serta penyedia perkhidmatan.

“Penganjurannya bukan sekadar festival hiburan, tetapi berfungsi sebagai hab silang budaya dan platform integrasi ekonomi budaya serta kreatif serantau,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan RIUH x ASEAN 2025, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, di sini, malam ini.

Beliau berkata, festival ini menampilkan lebih 150 penggiat kreatif yang menawarkan lebih 300 aktiviti kreatif, termasuk bengkel, pameran seni dan persembahan muzik.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, inspirasi utama penganjuran RIUH x ASEAN berpaksikan kepada tema ASEAN 2025: “Forging Ahead Together: Inclusivity & Sustainability”, yang diterjemahkan melalui festival seni, budaya, muzik dan komuniti merentas Asia Tenggara

Katanya, RIUH x ASEAN 2025 juga menandakan satu pencapaian penting dalam siri Kembara RIUH, apabila ia menjadi acara pertama yang berjaya merangkumi kesemua 10 tonggak utama MyCreative Ventures termasuk penciptaan kandungan, pendidikan kreatif, seni dan budaya tradisional.

“Dalam dunia seni dan kreativiti, terdapat dua cabang utama seni yang digerakkan oleh tujuan komersial bagi menjana pulangan ekonomi, dan seni yang dibangunkan untuk kepentingan masyarakat, bertujuan membina komuniti, memupuk nilai budaya dan memperkukuh jati diri sosial,” katanya.

Fahmi berkata, RIUH x ASEAN turut menganjurkan SEA: ASEAN Music Conference pada 21 hingga 22 Oktober.

Katanya, festival terbabit yang menghimpunkan pemuzik, penerbit dan penggiat industri dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Australia untuk berkongsi ilmu, pengalaman serta idea ke arah pembinaan ekosistem muzik yang mampan.

“Selepas itu, festival RIUH x ASEAN Marketplace dengan kerjasama QSR Brands, yang diadakan dari 24 Oktober hingga hari ini.

“Festival ini menampilkan pameran produk kreatif, gerai makanan dan minuman, bengkel seni, serta persembahan secara langsung oleh artis tempatan dan ASEAN,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top