TERENGGANU: Program Dwibahasa (DLP) dalam pengajaran Sains dan Matematik menjadi isu perbincangan utama dalam kalangan masyarakat terutama ibu bapa dan pihak sekolah. Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan, mengumumkan bahawa kelas tanpa DLP, yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, akan dilaksanakan semula sebagai satu inisiatif untuk mempertahankan bahasa kebangsaan. Pendekatan ini menghadapi bantahan di Pulau Pinang pada Jun 2024, yang mana wakil Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru menginginkan penggunaan Bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran sains dan matematik. Bagi mengatasi isu bantahan ini, inisiatif yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah Peluncuran Program Sahabat Bahasa di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, Pulau Pinang, yang bertujuan untuk memperkukuhkan Program Dwibahasa (DLP) di Malaysia.
Inisiatif ini penting untuk meningkatkan kecekapan murid dalam kedua-dua bahasa, yang merupakan asas kejayaan DLP di negara ini. Melalui kolaborasi dengan institusi pendidikan guru, program ini berfokuskan kepada peningkatan kaedah pengajaran dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, termasuk pembangunan kemahiran bahasa dan aktiviti budaya membaca.
Program Sahabat Bahasa memberikan kelebihan kepada murid, guru dan kakitangan sekolah apabila diaplikasikan di sekolah.
Program Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia telah dilancarkan dengan objektif utama untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris murid sekolah. Murid boleh meningkatkan keupayaan mereka dalam kedua-dua bahasa melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan seperti program budaya membaca, pembangunan kemahiran bahasa dan bacaan kritis.
Program Sahabat Bahasa bertujuan memberi penekanan kepada memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, walaupun dunia pendidikan di Malaysia masih menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan di dalam pendidikan seperti program DLP. Ini adalah sejajar dengan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mempertahankan kedudukan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara.
Kaedah pengajaran terbaik dalam bahasa Inggeris dan Melayu boleh dikongsi berkat kerjasama antara IPGM dan institusi pendidikan. Bagi melaksanakan kaedah pengajaran yang cekap, khususnya dalam konteks Dual Language Programme (DLP), guru yang mengambil bahagian diberikan latihan dan bimbingan.
Tambahan pula, program ini menawarkan bantuan kepada pendidik dan pentadbir sekolah dalam merancang kurikulum dan melaksanakan strategi pengajaran yang berjaya dalam DLP. Ini adalah untuk menjamin bahawa pendidik mempunyai pengetahuan yang diperlukan untuk melaksanakan pengajaran yang cekap dalam kedua-dua bahasa.
Kurikulum ini menjamin bahawa pengajaran dan pembelajaran dalam kedua-dua bahasa menekankan bukan sahaja kebolehan bahasa tetapi juga memahami dan menggunakan bahasa dalam konteks budaya dan sosial yang pelbagai dengan menggunakan pendekatan holistik. Matlamat ini adalah untuk memotivasikan murid menguasai kedua-dua bahasa sepenuhnya, kerana ini penting untuk kejayaan pelaksanaan DLP di Malaysia. Program Sahabat Bahasa di IPGM adalah satu inisiatif untuk membantu murid sebagai belia negara menjadi lebih mahir dalam bahasa dan menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran dunia global.
Nama Penulis :
Nurrul Insyirah Binti Mohd Razali
Pelajar Sarjana Pendidikan Biologi,
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Dr. Mohd Mokhzani Bin Ibrahim
Pensyarah,
Fakulti Sains dan Matematik,
Universiti Pendidikan Sultan Idris,
Tanjong Malim, Perak