Toulouse, Perancis: Qantas Airways hari ini dijangka mengumumkan destinasi pertama bagi penerbangan tanpa henti terpanjang di dunia dari timur Australia ke London atau New York, selepas bertahun-tahun kelewatan.
‘Projek Sunrise’ yang dirancang sejak 2017 itu bertujuan memintas hab Timur Tengah dan Asia untuk menawarkan penerbangan terus menggunakan pesawat Airbus jarak jauh yang diubah suai dan dijangka mula beroperasi menjelang akhir tahun depan.
Matlamatnya adalah untuk memendekkan perjalanan laluan ‘Kangaroo Route’ ke London daripada lima hari kepada 22 jam. Ia berbanding 24 hingga 25 jam melalui Singapura ketika ini.
Penerbangan Qantas Airways dari Sydney ke New York kini melalui Auckland juga antara destinasi awal untuk projek berkenaan.
Namun, belum pasti laluan yang akan diperkenalkan terlebih dahulu.
Difahamkan, projek ini adalah pertaruhan besar syarikat penerbangan Australia itu yang melabur berbilion dolar dalam perubahan armada, kabin dan kajian kesan kesihatan penerbangan jarak jauh tanpa henti.
Syarikat itu perlu meyakinkan penumpang membayar lebih untuk mengelakkan transit sambil meminimumkan ketidakselesaan penerbangan panjang.
Qantas Airways menamakan Projek Sunrise sempena penerbangan ‘double sunrise’ semasa Perang Dunia Kedua yang kekal di udara cukup lama untuk melihat dua matahari terbit.
Syarikat itu menganggarkan projek berkenaan boleh menambah lebih A$282.68 million (kira-kira RM813 juta) setahun kepada pendapatan, manakala Ketua Pegawai Eksekutif, Vanessa Hudson berkata, tiket boleh dijual sekitar 20 peratus lebih tinggi berbanding penerbangan satu hentian bagi kabin premium.
Namun penganalisis berkata, harga tenaga yang tinggi akibat konflik Teluk meningkatkan cabaran untuk mencapai pulangan modal.
Airbus memenangi kontrak Projek Sunrise selepas persaingan dengan Boeing 777X pada 2019.
Pesawat Airbus A350-1000ULR pertama daripada 12 unit yang ditempah sudah menjalani penerbangan ujian dan dijangka dihantar pada April 2027 selepas kelewatan akibat Covid-19 dan masalah rantaian bekalan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




