am@hmetro.com.my
Balik Pulau: Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 1448H/2026M berikutan sumbangan besarnya dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi negara.
Pengiktirafan itu disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang berlangsung di TVET Mara Balik Pulau, hari ini.
Anak kelahiran Pulau Pinang yang berusia 62 tahun itu memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Kimia dan berkhidmat di USM selama 33 tahun.
Abdul Rahman ketika ditemui menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan kepada semua golongan yang mengutamakan pendidikan dan memberi tumpuan dalam menuntut ilmu.
Katanya, beliau akan meneruskan agenda bagi memastikan bakat yang dihasilkan mencapai keperluan dan dikehendaki industri.
“Pengiktirafan itu sebagai dorongan bagi terus memperkukuh agenda pembangunan ilmu serta bakat negara khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
“Kita lihat bahawa Malaysia mengeluarkan bakat yang cukup hebat contohnya dalam bidang kejuruteraan, malah di Pulau Pinang memang banyak syarikat berasaskan semikonduktor, elektrik atau elektrikal dan elektronik.
“Di Pulau Pinang sahaja, kita ada lebih 350 syarikat multinasional dan 4,000 lebih industri dalam bidang E&E (elektrik dan elektronik), jadi bakat ini sangat diperlukan bagi mencapai tahap seperti Singapura, Taiwan, China dan juga Korea.
“Saya sendiri adalah seorang penyelidik dalam bidang nanoteknologi, termaju dan kita perlu hasilkan lagi inovasi bukan sahaja diguna pakai di peringkat negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya yang hadir bersama isteri Datin Seri Roslina Ahmad Mohamad.
Abdul Rahman sebelum ini pernah menerima Tokoh Pendidikan sempena Sambutan Maal Hijrah 1444H/ 2026M; Anugerah Saintis Cemerlang Kementerian Pengajian Tinggi, Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 2018 dan lain-lain lagi.
Sementara itu, jururawat di Hospital Seberang Jaya, Nur Deena Nadzhiefa Musni, 31, yang sebelum ini pernah tular apabila membantu menyuap makanan kepada pesakit warga emas turut diumum menerima Anugerah Khas di majlis yang sama.
Ibu kepada dua anak itu berkata, anugerah yang diterima menjadi kayu ukur dalam kerjayanya selama sembilan tahun berkhidmat dalam bidang kejururawatan.
“Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebagai seorang jururawat dan bukan merujuk kepada saya seorang. Kebetulan waktu itu, tindakan saya dirakam namun di belakang tabir, ada jururawat lain juga lakukan perkara sama.
“Anugerah ini akan jadi pembakar semangat bagi melakukannya dengan lebih baik dan yang penting, perlu ikhlas ketika bekerja,” katanya lagi.
Pada majlis itu, dua lagi individu turut menerima pengiktirafan bagi kategori masing-masing iaitu Ahmad Hashim Al-Hafiz yang menerima Anugerah Ikon Pendakwah, manakala Norhayati Sidikah Abu Bakar pula dianugerahkan Anugerah Ikon Keluarga Sakinah.
Terdahulu, majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




