‘Rafizi cerdik tarik undi muda, Pas kena ambil serius’ – Mohd Amar

‘Rafizi cerdik tarik undi muda, Pas kena ambil serius’ – Mohd Amar
‘Rafizi cerdik tarik undi muda, Pas kena ambil serius’ – Mohd Amar

Mohd Amar (kanan) menyifatkan isu-isu dibawa Rafizi seperti tata kelola dan salah guna kuasa sememangnya dekat dengan kecenderungan generasi muda yang lazimnya bersifat idealis.

KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah mengakui pendekatan politik digerakkan oleh Parti Bersama Malaysia (Bersama) pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli mampu menarik pengundi muda dan pengundi kali pertama.

Menurut beliau, langkah mengetengahkan model pemilihan calon secara terbuka dilihat sebagai pendekatan ‘cerdik’.

“Selain itu, isu-isu dibawa Rafizi seperti tata kelola dan salah guna kuasa sememangnya dekat dengan kecenderungan generasi muda yang lazimnya bersifat idealis,” katanya semasa sidang akhbar di sini pada Rabu.

Sebelum itu beliau hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Pengkalan Chepa Kali Ke 54 yang dirasmikan oleh dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Bagaimanapun ujarnya, semua parti termasuk Pas perlu mengambil serius perkembangan tersebut terutama bagi mengelakkan undi golongan muda beralih arah.

“Ahli Pas yang tegar ni dia tak akan berubah…apa pun perkembangan politik, dia kekal dengan Pas.

“Cuma tarikannya kepada pengundi muda, pengundi kali pertama terutamanya. Sebab itu parti-parti lain termasuk Pas kena ambil serius benda macam ni. Bagaimana kita nak urus supaya undi muda ini tidak lari,” katanya.

Menurut beliau, belum ada mana-mana pihak boleh membuat ramalan tepat mengenai kekuatan sebenar gerakan politik tersebut meskipun angka keahlian yang disebut mencecah 50,000 orang di seluruh negara.

Sehubungan itu, Mohd Amar menegaskan semua parti politik perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang perkembangan baharu yang berpotensi menjadi ancaman.

“Dalam politik ni, apa yang menjadi ancaman kepada kita, kita kena ambil perhatian supaya boleh ambil langkah-langkah sesuai untuk menanganinya. Itu biasalah dalam politik,” katanya.

Scroll to Top