hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Proses penggalian semula pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, akan dilakukan pada Jumaat ini.
Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, proses menggali semula kubur akan dibuat pada jam 8 pagi.
“Penggalian semula kubur Syamsul Haris ditetapkan pada 29 Ogos (Jumaat) pada 8 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ummu Haiman berharap kubur anaknya dapat digali semula dalam tempoh 48 jam selepas perintah mahkamah dikeluarkan semalam.
Dia dilaporkan berkata, setakat ini tiada wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghubungi pihaknya bagi memaklumkan perkembangan berkaitan perkara itu.
“Kami berharap kubur arwah (Syamsul Haris) dapat digali semula dalam tempoh 48 jam ini seperti yang diminta kami dalam perintah mahkamah.
“Setakat ini pihak saya atau melalui peguam belum lagi dimaklumkan apa-apa mengenai proses gali kubur itu. Tempoh 24 jam telah berlalu, kami masih menunggu, katanya,” katanya,
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor untuk digali semula.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ummu Haiman.
Beliau dilaporkan berkata, proses menggali semula kubur Syamsul Haris bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.
Dalam prosiding itu, Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden.
© New Straits Times Press (M) Bhd