YANGON: Protes yang tercetus di penjara Insein merupakan antara tunjuk perasaan pertama yang berlaku semula selepas rampasan kuasa junta tentera, 1 Februari lalu.
Protes yang menentang junta tentera dapat dilihat menerusi rakaman video dari luar kawasan penjara dan disiarkan dalam Facebook oleh penduduk tempatan.
“Hentikan pemerintahan diktator! Protes, protes! Revolusi!” jerit peserta himpunan.
Persatuan Bantuan Tahanan Politik Myanmar (AAPP) berkata, protes bermula di blok tahanan wanita dan disokong oleh beberapa staf penjara.
Timbalan Pengarah Jabatan Penjara Myanmar, Chan Nyein Kyaw memberitahu agensi berita tempatan, Myawaddy, berlaku rundingan dan pihaknya menerima permintaan daripada tahanan.
Menurut AAPP, junta tentera memasuki kawasan penjara dan merampas senjata kakitangan.
Sekumpulan misi diplomatik termasuk Australia, Kanada, United Kingdom, Amerika Syarikat dan sembilan ahli Kesatuan Eropah menerusi kenyataan bersama menggesa pihak berkuasa menyelesaikan konflik dengan aman.
Kenyataan turut menggesa supaya hak asasi dihormati seperti penjagaan kesihatan kepada semua tahanan di dalam penjara.




