am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sejarah sudah membuktikan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 mengakhiri era sistem satu parti yang sekian lama mendominasi landskap politik negara, sekali gus menyaksikan tiada lagi parti mampu menjadi kuasa dominan secara bersendirian di Malaysia.
Pengarah Strategik DAP Liew Chin Tong berkata, semua parti kini perlu bekerjasama dan bertolak ansur bagi menghadapi pilihan raya serta membentuk kerajaan sejajar perubahan corak sokongan rakyat sejak lapan tahun lalu.
Ini kerana katanya, berdasarkan landskap politik semasa, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka kekal sebagai dua gabungan utama pada PRU16, manakala Barisan Nasional (BN) pula semakin hilang popularitinya.
“Sementara kita mengakui BN mempunyai kelebihan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, faktanya ialah kemenangan di peringkat negeri tidak semestinya menjamin kejayaan pada PRU akan datang.
“Buktinya dapat dilihat dalam keputusan PRU 2022. Daripada 26 kerusi Parlimen Johor, BN hanya memenangi 9 kerusi berbanding PH yang mendapat 15 kerusi.
“Semoga pemimpin UMNO dan BN sedar tiada rakyat yang waras mahu kembali kepada era satu parti dengan UMNO sebagai parti dominan yang menentukan segala-galanya untuk rakyat. Zaman sudah berubah,” katanya dalam kenyataan Facebook, hari ini.
Kenyataan itu berkaitan cadangan BN Johor untuk bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor akan datang.
Liew yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, hasrat BN Johor bertanding secara solo pada PRN akan datang didorong usaha UMNO untuk mengembalikan kedudukannya sebagai parti dominan seperti era sebelum 2018.
“Hasrat UMNO meletakkan calon di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menyaksikan gabungan itu berdepan PH walaupun kedua-duanya kini bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Keyakinan tinggi BN untuk bertanding secara bersendirian didorong oleh jangkaan mampu memenangi lebih banyak kerusi berbanding yang dimiliki ketika ini, malah terdapat pemimpinnya yang percaya gabungan itu boleh menguasai antara 45 hingga 48 kerusi,” katanya.
Mengulas perkembangan selepas PRU15, Liew berkata, PH muncul gabungan terbesar dengan 82 kerusi Parlimen, diikuti PN dengan 74 kerusi, BN (30) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebanyak 23 kerusi.
Katanya, PN ketika itu berusaha membentuk kerajaan dengan menggabungkan sokongan GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selain mendapatkan akuan bersumpah daripada beberapa Ahli Parlimen BN bagi membolehkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Namun, usaha itu tidak berjaya dan akhirnya Kerajaan Perpaduan dibentuk hasil kerjasama antara PH dan BN selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara PH dan BN sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan telah membuktikan kedua-dua gabungan mampu bekerjasama dalam pentadbiran negara serta menghadapi pilihan raya secara bersama.
“Justeru, jika kerjasama itu diteruskan pada pilihan raya akan datang, ia berpotensi mewujudkan pertandingan satu lawan satu antara gabungan PH-BN dan PN yang dilihat memberi kelebihan kepada kedua-dua rakan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Bagaimanapun Liew berkata, terdapat pihak yang masih mempunyai impian untuk mengembalikan zaman kegemilangan UMNO sebagai satu kuasa politik yang dominan.
“Pada PRU 2022, PH dan PN masing-masing memenangi 71 kerusi bagi 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, manakala BN hanya 23 kerusi sahaja.
“Selepas itu, mengikut formula asal UMNO, bagi 71 kerusi yang telah dimenangi PN, parti yang mendapat undi kedua terbanyak akan bertanding mewakili gabungan PH-BN pada PRU akan datang.
“Berdasarkan cadangan ini, PH akan bertanding di 90 kerusi manakala BN 75 kerusi. Namun, oleh kerana formula ini hanya membolehkan MCA bertanding dua kerusi Parlimen sahaja, ia menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpinnya,” katanya.
Sehubungan itu, katanya bagi mencari jalan untuk bertanding lebih daripada dua kerusi, MCA mendesak BN untuk bertanding solo, walaupun ia sedar kemahuannya itu akan menyebabkan berlakunya pertandingan tiga penjuru yang akan menjejaskan peluang kedua-dua BN dan PH.
“Walaupun MCA adalah rakan gabungan Kerajaan Perpaduan, ia bersikap seperti pembangkang, membawa isu yang menyebabkan kemarahan dalam kalangan parti-parti komponen, menimbulkan keresahan kaum Cina dan mempertikaikan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menyerang DAP dan Kerajaan Perpaduan.
“Pada masa sama, PAS dan BERSATU pula meneruskan kempen membangkitkan keresahan orang Melayu bagi menimbulkan rasa kurang keyakinan terhadap Anwar dan Kerajaan Perpaduan.
“Dalam UMNO pula, ada pemimpin yang tidak mahu parti itu bertanding sebagai rakan gandingan PH,” katanya.
Katanya, ia kerana mereka percaya UMNO hanya dapat mengembalikan kegemilangan masa lalu dengan bertanding bersendirian di sebanyak kerusi yang boleh di samping mengemukakan calon Perdana Menteri mereka sendiri.
“Mereka beranggapan cara ini dapat mengembalikan sokongan Melayu kepada UMNO. UMNO Johor berpandangan Johor sebagai kubu UMNO perlu mengadakan pilihan raya negeri terlebih dahulu.
“Dengan mengandaikan kemenangan besar dalam PRN itu, pemimpinnya yakin ia akan menjadi kelebihan serta sumber kekuatan untuk bertanding solo pada PRU akan datang,” katanya.
Namun katanya, sejarah membuktikan PRU 2018 telah mengakhiri era sistem ‘satu parti’ yang begitu lama mendominasi landskap politik Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




