PRU15: Bangkitlah anak muda selamatkan negara

PRU15: Bangkitlah anak muda selamatkan negara

FIRMAN Allah S.W.T:

Advertisement

اِذْ اَوَى الْفِتْيَةُ اِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوْا رَبَّنَآ اٰتِنَا مِنْ لَّدُنْكَ رَحْمَةً وَّهَيِّئْ لَنَا مِنْ اَمْرِنَا رَشَدًا.

“(Ingatlah) ketika pemuda-pemuda itu berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa: Ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami”.

Firman-Nya lagi:

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَاَهُمْ بِالْحَقِّۗ اِنَّهُمْ فِتْيَةٌ اٰمَنُوْا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنٰهُمْ هُدًىۖ.

“Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka”.

(al-Kahfi: 10 dan 13)

Golongan pemuda dan pemudi adalah harapan dan masa hadapan agama, bangsa dan negara. Di atas bahu merekalah terletaknya satu amanah yang besar iaitu mengurus tadbir negara. Walaupun tidak semua terlibat dengan tadbir urus negara, namun anak muda terlibat secara langsung dengan pemilihan pentadbir atau pemimpin negara melalui undi dalam pilihan raya.

Gema Pilihan Raya Umum ke-15 semakin rancak kedengaran di sana sini. Ianya bukanlah perkara kecil yang boleh dipandang sebelah mata kerana jika silap mendapatkan maklumat boleh mengakibatkan silap dalam pemilihan. Jika perkara ini berlaku, pastinya ia akan merugikan seluruh rakyat dan negara dalam pelbagai lapangan.

Pemuda-pemudi yang bijaksana akan menilai mengikut kaca mata ketelusan, integriti dan akauntabiliti yang terdapat pada seseorang bakal pemimpin atau hala tuju perjuangan yang diikutinya.

Bagi pemuda-pemudi yang beriman pula, sudah pasti neraca keimanan dan ketaqwaan yang akan dijadikan panduan sebagaimana Pemuda Ashaabul Kahfi kerana iman dan takwa pastinya akan dapat membentuk jati diri seorang manusia yang luhur.

Justeru PAS Johor menyeru dan mengajak anak muda menyedari tanggungjawab memilih pemimpin melalui pilihan raya dan menjadikan ia sebagai satu usaha ke arah membina negara atas landasan kebenaran yang dipandu oleh ilmu yang sebenar.

Pemimpin yang berintegriti, berakauntabiliti, jujur dan bertanggungjawab adalah harapan semua pihak. Sikap ini akan lahir daripada Iman dan taqwa serta sifat perikemanusiaan yang tinggi bermatlamatkan berkebajikan dan kesejahteraan untuk semua demi mencapai redha Allah S.W.T.

“Islam Menyatukan Ummah”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 25/8/2022