Paris: Penyandang juara Paris Saint Germain (PSG) bakal menghadapi cabaran getir apabila diundi bertemu pasukan Ligue 1, Lens, dalam peringkat 64 pasukan Piala Perancis.
Perlawanan ini dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Disember.
Dalam satu lagi pertemuan antara pasukan liga utama, Marseille akan menentang Saint Etienne, menjanjikan aksi sengit saingan awal.
Bordeaux, juara Perancis sebanyak enam kali tetapi kini terjerumus ke divisyen keempat selepas masalah kewangan dan kejatuhan prestasi, akan berdepan Rennes yang kini dikendalikan oleh bekas jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli.
Union Saint Jean, kelab divisyen enam, bakal menentang Monaco yang kini menduduki tempat ketiga Ligue 1, manakala Still Mutzig, juga dari divisyen enam, dijadualkan menerima kunjungan Reims.
Dalam kategori kelab kepulauan Perancis, Saint Joseph dari Martinique akan terbang ke Corsica untuk bertemu Bastia, sementara Saint Denis dari Reunion bakal melawan Dives Cabourg, pasukan divisyen lima.
Perlawanan akhir Piala Perancis musim ini akan diadakan di Stade de France pada 24 Mei.
PSG, yang memenangi kejohanan ini sebanyak 15 kali, kini memburu satu lagi gelaran untuk menambah koleksi mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd



