PSG dahagakan kejuaraan kelima di Piala Dunia Kelab

PSG dahagakan kejuaraan kelima di Piala Dunia Kelab

Los Angeles: Raja Eropah yang baru dinobatkan, Paris Saint-Germain (PSG) tiba di Amerika Syarikat minggu ini bagi menyertai saingan Piala Dunia Kelab dan tidak menganggap kejohanan baharu FIFA yang menguntungkan itu sebagai beban di hujung musim yang meletihkan, sebaliknya satu misi utama.

“Saya rasa ia satu kejohanan yang luar biasa.

“Matlamat kami ialah untuk kekal kompetitif dan cuba memenangi trofi kelima musim ini,” kata jurulatih PSG, Luis Enrique, sejurus selepas skuad kendaliannya menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL) UEFA di Munich, dua minggu lalu.

Gergasi Perancis yang dibiayai Qatar itu wajar sahaja mengambil masa untuk menikmati kejayaan bersejarah mereka selepas menewaskan Inter Milan 5-0 di Munich, kemenangan yang menghadiahkan PSG kejuaraan UCL pertama dalam sejarah kelab.

Sebelum ini, PSG sering terkandas di pentas tertinggi Eropah walaupun berbilion euro dibelanjakan untuk membawa masuk bintang ternama seperti Neymar dan Kylian Mbappe sebelum kapten Marquinhos menjulang trofi itu.

“Kami sudah mencipta sejarah untuk kelab, bandar dan untuk seluruh negara,” kata pertahanan, Lucas Hernandez selepas skuad PSG meraikan kemenangan mereka di Champs-lysees ketika menghadiri majlis bersama Presiden Emmanuel Macron dan meraikannya bersama hampir 50,000 penyokong di Parc des Princes.

Musim ini, PSG sudah pun beraksi dalam 58 perlawanan sejak Ogos lalu, dan menyapu bersih semua trofi domestik di Perancis satu kebiasaan buat mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun, mereka tidak punya banyak masa untuk berehat atau berseronok.

Ramai pemain mereka, termasuk wira final UCL, Desire Doue, menyertai skuad kebangsaan masing-masing minggu lalu sebelum kembali ke kem kelab dan berlepas ke Los Angeles untuk misi baharu Piala Dunia Kelab esok.

“Kejohanan ini sangat menarik untuk disertai.

“Kami perlu mencari keseimbangan antara mengurus keletihan fizikal dan mental di penghujung musim yang panjang ini, dan pada masa sama memanfaatkan motivasi yang hadir apabila menyertai kejohanan besar seperti ini,” ujar Luis Enrique.

PSG bakal membuka kempen Piala Dunia Kelab mereka menentang satu lagi gergasi Eropah Atletico Madrid, yang diterajui Antoine Griezmann, dalam aksi pembukaan di Rose Bowl, Pasadena, esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top