Kanye West hadir pada perbicaraan Diddy

Kanye West hadir pada perbicaraan Diddy

New York: Penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Kanye West, hadir di Mahkamah Persekutuan Manhattan pada Jumaat bagi menyatakan sokongan kepada mogul muzik Sean Combs, yang sedang dibicarakan atas dakwaan pemerdagangan seks dan kegiatan pemerasan.

West, yang kini secara sah menukar namanya kepada Ye, tidak masuk ke bilik mahkamah; sebaliknya beliau menonton prosiding secara ringkas melalui video litar tertutup di bilik bersebelahan bersama salah seorang anak Combs, sebelum beredar.

Apabila ditanya oleh penyiar ABC sama ada beliau hadir untuk menyokong Combs atau nama popularrnya Diddy, West yang berusia 48 tahun itu mengangguk dan menjawab: “Ya.”

Kehadiran ringkasnya berlaku sehari selepas bekas teman wanita Combs menamatkan keterangannya di mahkamah.

Wanita itu yang memberikan keterangan menggunakan nama samaran Jane, berkongsi butiran emosi dan grafik mengenai bagaimana Combs didakwa memaksanya terbabit dalam sesi seks bersama pekerja seks, dengan dipengaruhi dadah.

Penerangannya hampir sama dengan testimoni saksi utama sebelum ini, teman wanita lama Combs, Casandra Ventura, yang berkata pertemuan seperti itu dikenali sebagai ‘freak-offs’.

Dalam keterangannya, Jane turut menyebut pernah pergi ke Las Vegas tahun lalu menaiki jet peribadi seorang penyanyi rap terkenal, dan mengatakan bahawa dia pernah mencadangkan seorang pekerja seks lelaki kepada penyanyi itu dan teman wanitanya.

Hampir sebulan, juri di mahkamah Manhattan mendengar siri keterangan saksi mengenai pengaruh besar yang dimiliki Combs, 55, terhadap kakitangan dan bekas teman wanitanya.

Combs berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan atas tuduhan pemerasan dan pemerdagangan seks.

Mogul muzik itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan peguamnya berhujah bahawa apa yang digambarkan oleh pihak pendakwa sebagai pemerdagangan seks sebenarnya berlaku secara suka sama suka.

Perbicaraan dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga akhir Jun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top