Dua dokumen utama pertahanan negara iaitu Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026–2030 menjadi panduan hala tuju sektor pertahanan Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelancaran itu disifatkan sebagai satu detik penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta memastikan perancangan pertahanan negara lebih tersusun, responsif dan berorientasikan masa hadapan.
“Sesungguhnya, dokumen-dokumen ini adalah hasil penggemblengan idea, tenaga dan kepakaran pelbagai pihak di Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tenera, serta sumbangan daripada rakan-rakan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran PSPN dwn RTKP 2026–2030 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, PSPN 2026–2030 merupakan kesinambungan kepada pelan strategik sebelum ini yang telah diselaraskan semula berdasarkan perubahan landskap keselamatan global yang semakin kompleks.
PSPN itu dibangunkan berasaskan tujuh teras strategik yang merangkumi aspek kesiapsiagaan ATM, pembangunan kapasiti, kesejahteraan warga pertahanan, kerjasama awam-tentera (CIMIC), pembangunan teknologi pertahanan, hubungan antarabangsa serta kebajikan veteran.
“PSPN akan terus menyokong Kertas Putih Pertahanan (KPP) dengan berlandaskan tujuh teras strategik yang telah digariskan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa dunia kini berdepan perubahan pesat termasuk ketidaktentuan geopolitik, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), serta ancaman bukan tradisional yang semakin sukar dijangka.
Dalam pada itu, RTKP 2026–2030 diperkenalkan sebagai dokumen pelengkap kepada PSPN bagi memastikan negara memiliki kapasiti sebenar untuk melaksanakan setiap perancangan yang digariskan.
“Ketidaktentuan geopolitik dunia, perkembangan teknologi disruptif seperti kecerdasan buatan dan sistem automasi, ancaman bukan bersenjata yang semakin kompleks, semuanya mengubah landskap keselamatan dan pertahanan secara drastik.
“Jika PSPN menentukan ke mana kita ingin pergi, RTKP pula memastikan kita mempunyai keupayaan untuk sampai ke sasaran tersebut,” katanya.

Mohamed Khaled menjelaskan bahawa kapasiti tersebut meliputi aspek kewangan, modal insan, kepimpinan, kepakaran teknologi serta penyelarasan ekosistem pertahanan negara.
Pendekatan diplomasi dan kedudukan Malaysia
Kerajaan turut menekankan kepentingan diplomasi pertahanan sebagai antara elemen utama dalam mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara di tengah ketidaktentuan global.
Katanya, Malaysia kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak berpihak selain terus memperkukuh peranan dalam platform serantau dan antarabangsa.

Beliau menambah bahawa pendekatan diplomasi juga membolehkan Malaysia memainkan peranan sebagai penghubung dialog antara negara yang berbeza pendirian politik.
“Malaysia akan berpegang teguh kepada prinsip berkecuali dan tidak berpihak. Kerana ia membolehkan kita mengekalkan kedaulatan tanah air dalam sebarang situasi.
“Malaysia juga akan terus memanfaatkan convening power, iaitu keupayaan untuk menghimpunkan negara-negara yang mungkin tidak sehaluan dari sudut politik, tetapi boleh duduk di satu meja untuk berbincang dan berdialog,” jelasnya.
Pertahanan sebagai agenda nasional
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut menegaskan bahawa isu pertahanan negara bukan lagi tanggungjawab eksklusif MINDEF semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh seluruh kerajaan dan masyarakat.
Pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WOGOS) akan terus diperkukuh bagi memastikan daya tahan negara berada pada tahap optimum dalam menghadapi ancaman yang semakin kompleks.
“Buat pertama kalinya, Pelan Strategik MINDEF telah dijenamakan semula sebagai Pelan Strategik Pertahanan Negara. Ini adalah satu anjakan paradigma,” ujar Mohamed Khaled.
Beliau menjelaskan bahawa perubahan itu membawa maksud jelas bahawa pertahanan kini adalah agenda nasional yang melibatkan semua pihak.
“Pertahanan bukan lagi agenda Kementerian Pertahanan sahaja. Tetapi ia adalah sebuah agenda nasional,” katanya.
Pelbagai program turut diperkenalkan bagi memperkukuh pendekatan tersebut termasuk Program Literasi Pertahanan, Program Jiwa Murni MADANI serta Program Ilmu dan Muafakat (PIKAT) di seluruh negara.
Kesiapsiagaan ATM dan pembangunan masa depan
Kerajaan turut memberi penekanan kepada pemodenan ATM melalui perolehan aset baharu serta pembangunan keupayaan teknologi masa hadapan.
Antara aset yang telah dan bakal diterima termasuk Unmanned Aircraft System (UAS) ANKA MALE Phase 1, Fighter Lead In Trainer Light Combat Aircraft (FLIT-LCA), Maritime Patrol Aircraft (MPA) serta Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2.
“Pemodenan ATM akan terus dilaksanakan mengikut jadual, terutama dalam tempoh 2026 hingga 2030,” ujarnya.

Selain itu, kerajaan turut memberi fokus kepada pembangunan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pertahanan siber, peperangan elektronik serta keupayaan satelit melalui pemerintahan Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (PSEP).
Kesejahteraan anggota dan veteran ATM
Aspek kesejahteraan anggota dan veteran ATM terus menjadi keutamaan kerajaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara.
Pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk pembinaan projek perumahan, naik taraf fasiliti kesihatan serta program bantuan kos sara hidup.
“Anggota yang menikmati kehidupan yang lebih sejahtera dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada amanah mempertahankan negara,” tambahnya lagi.

Bagi veteran ATM pula, kerajaan memperluas peluang kerjaya kedua melalui program seperti Work-Based Learning (WBL), reskilling dan upskilling serta program kebolehpasaran kerja baharu.
“Pemerkasaan kesejahteraan veteran ATM bukan sekadar bantuan kebajikan, tetapi manifestasi penghargaan negara terhadap jasa mereka,” katanya.
Tegasnya, semua inisiatif tersebut akan dilaksanakan secara berfasa dan bersepadu sepanjang tempoh pelaksanaan PSPN 2026–2030.
Majlis turut diserikan dengan sesi wacana strategik yang menghimpunkan ahli panel daripada MINDEF, ATM dan agensi-agensi berkaitan bagi memperincikan pelan pelaksanaan PSPN dan RTKP, khususnya dalam memacu inovasi dan memperluas pendekatan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Malek Razak Sulaiman, Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima-Panglima Perkhidmatan serta pegawai-pegawai kanan MINDEF dan ATM.




