rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi di sini, yang dipercayai menyediakan wanita pelayan pelanggan (GRO) untuk menarik pengunjung, tengah malam tadi.
Serbuan jam 12.30 tengah malam itu dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Siasatan Khas (D9) serta Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan menerusi Op Hiburan Khas yang dijalankan hasil maklumat dan risikan berjaya menahan 145 pelayan serta pelanggan.
“Semasa serbuan di pusat hiburan terletak di tingkat satu bangunan perniagaan itu, kebanyakan mereka sedang leka berhibur.
“Hasil pemeriksaan menahan seramai 73 wanita menjalankan kerja sebagai GRO di premis berkenaan. Mereka ditahan terdiri daripada tiga wanita tempatan, warga Thailand (52), Laos (6), masing-masing lima warga Vietnam dan Indonesia serta China (2) berusia antara 24 hingga 40 tahun.
“Pemeriksaan mendapati 68 warga asing terbabit memiliki dokumen perjalanan sah namun didapati menyalahgunakan visa pelancong dengan bekerja di premis itu manakala dua orang lagi tidak memiliki dokumen sah.
“Turut ditahan seorang wanita tempatan berusia 49 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati pemilik premis menyediakan pekerja wanita warga asing untuk menarik pelanggan.
Selain itu, kata beliau, pelanggan yang berminat untuk melanggan dipercayai perlu membayar tip antara RM100 hingga RM500.
Katanya, semakan mendapati premis berkenaan mempunyai lesen dan permit perniagaan yang sah.
Menurut Rusdi, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk ujian saringan air kencing dan siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




