Qadiani bukan ajaran Islam, sudah difatwakan keluar agama – JAIS

Qadiani bukan ajaran Islam, sudah difatwakan keluar agama – JAIS

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Ajaran Qadiani bukan ajaran Islam dan sudah difatwa terkeluar daripada agama Islam pada 24 September 1998 dan 17 Ogos 2000 di negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Shahzihan Ahmad menegaskan, JAIS sentiasa memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya tentang ajaran terbabit.

“Ini termasuklah mengenal pasti individu yang bukan dilahirkan sebagai Qadiani, status, cara pergerakan kumpulan, hubungan dan komunikasi yang berjalan serta aktiviti yang dijalankan oleh kumpulan ini.

“Berhubung hantaran di Facebook Keranda Ghulat, JAIS menegaskan bahawa video-video berkenaan adalah video tahun 2019 yang dikumpul dan ditularkan semula.

“Berdasarkan rekod, pihak JAIS sudah membuat siasatan di lokasi yang dibuat sejurus selepas JAIS memaklumi video tersebut pada masa itu.

“Bagaimanapun, JAIS mendapati tiada kesan kegiatan seumpamanya berlaku pada masa itu. JAIS juga turut menyiasat lapan lagi lokasi di Ulu Yam yang dikaitkan dengan kegiatan seumpamanya, namun tiada tanda-tanda aktiviti berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk hantaran di Facebook Keranda Ghulat berkaitan ajaran Qadiani yang didakwa tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama.

Justeru itu katanya, umat Islam dinasihati untuk tidak menyertai atau mengikuti apa-apa program atau aktiviti yang ada kaitan dengan ajaran Ahmadiah atau Qadiani atau ajaran yang mempunyai ciri-ciri yang sama.

“Inj kerana ia adalah suatu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

“Umat Islam juga dinasihatkan berhati-hati kerana penampilan dan cara beramal kumpulan ini sangat menyamai dengan amalan umat Islam majoriti di negara ini melainkan ada beberapa perbezaan yang sukar dilihat dengan mata kasar yang dikenal pasti bertentangan dengan ajaran Islam mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top