Singapura: Perenang China, Qin Haiyang mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila mengetepikan juara Olimpik, Nicolo Martinenghi untuk merangkul semula gelaran juara dunia 100 meter (m) kuak dada di Kejohanan Dunia di Singapura.
Qin yang bermula perlahan, bangkit memecut di penghujung perlumbaan untuk menamatkan saingan dengan catatan 58.23 saat (s), meninggalkan Martinenghi dari Itali (58.58s) dan Denis Petrashov dari Kyrgyzstan (58.88s).
Pada Kejohanan Dunia 2023 di Jepun, Qin menyapu bersih ketiga-tiga acara kuak dada dan turut memecahkan rekod dunia 200m kuak dada, namun impian di Sukan Olimpik Paris lebur apabila sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh walaupun mendahului selepas separuh perlumbaan acara 100m kuak dada.
Namun kali ini, perenang berusia 26 tahun itu tidak berdepan masalah apabila menghadiahkan pingat pertama buat China dalam acara renang pada kejohanan kali ini.
“Saya sangat bersyukur malam ini, sudah lama saya menantikan saat ini.
“Akhirnya saya kembali,” kata Qin.
Qin sebelum ini memasuki final dengan reputasi hebat apabila mencatat dua masa terbaik dunia tahun ini, dan mengetuai saringan separuh akhir mengatasi Martinenghi.
Martinenghi pula pada awalnya dibatalkan penyertaannya di separuh akhir namun kemudian dikembalikan untuk beraksi di pentas final.
Perenang Itali itu mendedahkan bahawa dia tidak sihat sepanjang malam sebelum perlumbaan, justeru menganggap pencapaian pingat perak itu sangat membanggakan.
“Pingat perak ini ibarat emas untuk saya,” katanya.
“Saya dah tak ada apa-apa dalam badan. Hanya tinggal semangat dan fikiran.”
Acara itu bagaimanapun tidak menyaksikan penyertaan dua pemenang perak Sukan Olimpik Paris, Adam Peaty dari Britain dan Nic Fink dari Amerika Syarikat.
Peaty, pemilik 14 catatan terpantas dalam sejarah acara 100m kuak dada, memilih untuk tidak menyertai Kejohanan Dunia kali ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd