Raducanu akui masih belajar

JUARA Terbuka Amerika Syarikat (AS), Emma Raducanu mengakui dirinya masih belajar dan meminta semua pihak bersabar untuknya kembali bangkit dalam kejuaraan Jelajah WTA.

Menurut pemain berusia 18 tahun itu, kebangkitannya itu pastinya memerlukan masa khususnya bagi mencapati tahap terbaiknya untuk beraksi dan mencipta lebih banyak kejayaan selepas ini.

“Saya merasakan semua orang yang berada di sekeliling perlu bersabar ketika saya melalui fasa sebegini.

“Saya sedang berusaha mendapatkan semula aura tenis saya semula selepas kejuaraan sebelum ini.

“Sesungguhnya proses ini mengambil sedikit masa kerana situasi yang saya hadapi berlaku terlalu pantas, pada ketika saya masih di fasa pembelajaran,” katanya.

Untuk rekod, Raducanu mengegarkan arena tenis dunia pada September apabila meraih kejuaraan Grand Slam pertamanya atas kapasiti pemain kelayakan pada kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (US Open).

Bagaimanapun, prestasi pemain Britain itu dilihat kembali terumbang ambing berikutan keputusannya untuk berpisah dengan jurulatihnya, yang juga bekas pemain Piala Davis, Andrew Richardson.

Situasi itu juga menyaksikannya tersingkir seawal pusingan kedua kejohanan Tenis Indian Wells pada Oktober.

Sementara itu Raducanu juga mengakui dia perlu lebih banyak bersabar dan tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi selepas ini.

“Saya juga perlu belajar bersabar dengan diri supaya tidak meletakan sasaran terlalu tinggi selepas ini.

“Apa yang pasti saya masih belajar. Walaupun ia merupakan satu proses yang mudah, namun untuk jangka panjang saya percaya akan berlaku prestasi naik dan turun,” katanya.