Rahmat Allah terima keampunan hamba yang bertaubat

Rahmat Allah terima keampunan hamba yang bertaubat

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menghulurkan tangan (penerimaan kurniaan keampunan) di waktu malam supaya bertaubat oleh orang yang melakukan kejahatan di siang hari dan Allah menghulurkan tangan (kurniaan keampunan-Nya) di waktu siang supaya bertaubatlah orang yang melakukan kejahatan di waktu malam sehingga matahari naik di sebelah barat.”

Advertisement

Hadis ini menunjukkan kepada kita betapa luasnya nikmat Allah yang dikurniakan kepada hamba-hamba yang beriman. Di antara rahmat yang luas itu ialah rahmat menerima keampunan hamba-hamba yang bertaubat apabila melakukan kesalahan.

Para ulama’ menyatakan bahawa bertaubat adalah wajib kepada orang yang melakukan dosa sama ada dosa yang besar atau dosa yang kecil.

Taubat adalah satu peluang yang sangat luas yang dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman dan menjadi kewajipan kepada mereka untuk mengambil kesempatan bertaubat.

Oleh kerana terlalu luasnya pintu taubat itu maka tidak ada peluang dan ruang untuk seseorang yang beriman itu berputus asa dari rahmat dan keampunan Allah.

Seorang yang bertaubat itu hendaklah bertaubat dengan hati yang penuh ikhlas dan jujur kepada Allah, bukannya bermain-main dengan taubat.

Para ulama’ menyatakan bahawa taubat yang ‘nasuha’ (taubat yang sungguh-sungguh ikhlas) itu mestilah mengandungi tiga syarat.

Yang pertama, hendaklah meninggalkan dosa yang dilakukan, yang kedua hendaklah menyesal di atas dosa yang dilakukan dan yang ketiga hendaklah berazam bahawa tidak akan melakukan lagi dosa itu.

Demikianlah syarat-syarat taubat, jika sekiranya dosa yang dilakukan itu bergantung dengan Allah.

Jika sekiranya dosa yang dilakukan itu bergantung dengan hamba-Nya, maka hendaklah meminta maaf kepada hamba yang kita melakukan kesalahan kepadanya, di samping kita bertaubat kepada Allah.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 4/5/2023