Portal budaya pop JUICE, kembali dengan edisi tahunan JUICE Best Of 2025, sebuah pengiktirafan untuk menghargai individu, artis dan lokasi yang banyak membentuk dunia muzik, fesyen, gaya hidup serta acara di Malaysia sepanjang tahun ini.
Selepas kejayaan Best Of 2024 yang menjadi tradisi baharu dalam meraikan pencetus budaya tempatan, edisi kali ini hadir dengan seleksi lebih lantang, lebih berani dan tanpa kompromi.
Fokus utama tetap sama, iaitu memberi ruang kepada rakyat Malaysia untuk mengangkat seniman, kreator dan pencetus trend yang melangkaui batasan dan mengubah landskap budaya negara.
“JUICE Best Of 2025 bukan pertandingan populariti biasa. Kami letakkan nama arus perdana dan wajah bawah tanah di pentas yang sama kerana kedua-duanya menggerakkan budaya dengan cara tersendiri.
“Calon pilihan kami adalah individu yang berani mencabar norma dan seiring dengan misi kami untuk mengangkat bakat baharu, alternatif dan pencipta karya yang tidak terikat pada satu genre,” kata pasukan editorial JUICE.
Untuk tahun 2025, kategori yang dipertandingkan merangkumi muzik, fesyen, gaya hidup dan acara, dengan undian dibuka kepada umum secara dalam talian.

Dalam kategori Muzik, senarai pencalonan merangkumi Lagu Terbaik, Album atau EP Terbaik, Kumpulan Terbaik, Rekaan Kulit Album Terbaik, Kolaborasi Terbaik, Artis Solo Terbaik, Artis Baharu Terbaik dan DJ Terbaik.
Bagi kategori Fesyen, antara kategori yang dipertandingkan ialah Pereka Fesyen Terbaik, Jenama Streetwear Terbaik, Aksesori Terbaik, Kasut Terbaik serta Kedai Bundle atau Thrift Terbaik.
Untuk kategori Acara, pencalonan meliputi Konsert Terbaik, Pelancaran Produk Terbaik dan Festival Terbaik yang mewarnai dunia hiburan sepanjang tahun.
Dalam kategori Gaya Hidup, pencalonan memberi tumpuan kepada Bar Terbaik, Kelab Terbaik, Live House Terbaik, Kafe Terbaik dan lokasi healing paling menonjol yang menjadi pilihan ramai.
Sebagai kemuncak, kategori Grand Finale mengetengahkan anugerah Person of the Year, iaitu penghargaan tertinggi untuk individu yang mencetus perbualan, menggerakkan budaya atau menjadi figura paling berpengaruh sepanjang tahun.
Undian kini dibuka kepada semua rakyat Malaysia. Orang ramai boleh mengundi secara dalam talian dan mengikuti JUICE di Instagram untuk kemas kini, teaser dan kejutan sepanjang kempen berlangsung.
Tahun lalu, JUICE menerima lebih 5,000 undian hanya dalam masa seminggu, membuktikan betapa kuatnya sokongan komuniti tempatan. Tahun ini dijangka lebih meriah dengan penyertaan yang lebih besar serta penghargaan untuk nama-nama yang benar-benar mengukuhkan budaya pop Malaysia.
Undian akan ditutup pada 20 Disember 2025. Undi pemenang anda di https://juiceonline.com/bestof2025/index.html




