Rakam kisah sedih keguguran untuk kenangan

Rakam kisah sedih keguguran untuk kenangan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Rembau: “Syahmi, saya gugur. Tapi boleh kan teruskan ‘photoshoot’ (fotografi) tanpa perut (perut hamil) dan bayi?” Itu pertanyaan dan permintaan seorang wanita juga klien yang membuatkan jurugambar, Muhammad Syahmi Md Yazid, 29, atau mesra disapa Syahmi tersentak hingga jadi sebak mendengarnya.

Bagaimanapun, Syahmi turutkan juga permintaan berkenaan kerana memikirkan keinginan wanita itu yang mahu menyimpan gambar sebagai kenangan.

Kisah itu mendapat perhatian selepas Syahmi memuat naik video di TikTok.

Menurut Syahmi, ibu bapa wanita itu (klien) adalah rakan kepada keluarganya dan dikenalinya selepas membantu mengambil gambar rayanya pada Aidilfitri tahun lalu.

“Februari lalu, saya buat tawaran diskaun bagi perkhidmatan fotografi sempena ulang tahun kelahiran.

“Kemudian, saya dihubungi kakak itu (klien) maklumkan nak buat tempahan sesi fotografi kehamilan.

“Awal bulan lalu, kakak itu hubungi saya semula beritahu kisah sedih yang dia alami keguguran untuk kenangan.

“Saya tak boleh tolak kerana pernah berbuat demikian (tolak) waktu dia nak nikah dulu akibat kekangan masa jadi cuba buat walaupun tiada pengalaman ambil gambar dengan konsep begitu (fotografi selepas keguguran),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Syahmi mengakui menangis beberapa hari sebelum sesi fotografi dan ketika menulis puisi berkaitan kisah kehilangan anak dalam kandungan.

Bagaimanapun, Syahmi ketepikan emosinya demi tugasan untuk menghasilkan gambar menarik ketika sesi fotografi dan penggambaran video.

“Ikutkan nak buat sesi fotografi saja tapi kemudian bantu ambil sekali video seperti yang dimuat naik di TikTok.

“Sesi fotografi dan rakam video itu dijalankan berhampiran rumah saja dan saya cuba angkat konsep ikhlas kerana bagi saya, ikhlas lebih tinggi daripada reda.

“Syukur, mereka (klien dan suami) puas hati malah bapa klien saya yang juga guru disiplin pun menangis melihat hasil gambar,” katanya yang juga pengasas perkhidmatan fotografi Gambharan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perpustakaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, niatnya memuat naik video di TikTok adalah sekadar untuk berkongsi hasil kerjanya.

“Tak sangka pula boleh dapat perhatian ramai hingga ramai tersentuh malah ada yang kongsi pengalaman mereka mengalami keguguran di ruangan komen.

“Walaupun sudah biasa ‘bermain’ dengan kamera namun ia bukan tugasan yang mudah.

“Lagipun, tak pernah ambil gambar sebegitu…saya pun tak pernah merasai kehilangan orang tersayang jadi takut jika hasilnya tak macam yang diharapkan,” katanya yang mula menjadi jurugambar bebas sejak Januari 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top