am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Lapan rakaman video di telefon bimbit seorang lelaki membongkar pembabitannya dalam kejadian simbah cat di sekitar bandar raya ini sejak hampir sebulan lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, bertindak atas maklumat, polis membuat tangkapan terhadap lelaki berusia 27 tahun itu.
Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam kes simbah cat, tampal notis ugutan serta mengunci pintu pagar membabitkan lapan kediaman.
Menurutnya, kediaman itu terletak di sekitar Iskandar Puteri, Seri Alam dan Johor Bahru Selatan.
Katanya, dia dipercayai mula melakukan perbuatan berkenaan sejak 20 Februari lalu.
“Hasil semakan telefon bimbit suspek terdapat lapan rakaman kejadian simbah cat.
“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 12 Mac depan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Siasatan juga dijalankan bagi mengenalpasti kes membabitkan suspek sama,” katanya menerusi siaran media hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




