syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sahabat handai dan beberapa penggiat seni dari Singapura kini mengumpul dana sumbangan untuk membantu pelakon, Norish Karman yang kini diuji dengan masalah kesihatan kritikal.
Pemuzik Singapura yang juga sahabat Norish, Mohamad Yazid Mohd Fami, ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menghubungi anak pelakon itu, Manda dan akan datang ke Kuala Lumpur bagi menyerahkan kutipan sumbangan itu kepadanya.
“Saya dah hubungi Manda dan sudah berbual mengenai keadaan terkini ibunya. Kami di Singapura turut terkesan apabila mendapat tahu mengenai keadaan kesihatannya yang kini dalam keadaan kritikal.
“Jadi, saya dan beberapa belas penggiat seni termasuklah pemuzik dan dramatis di sini mengambil inisiatif untuk mengumpul dana sumbangan bagi meringankan bebannya.
“Saya sendiri akan ke Kuala Lumpur untuk menyerahkan hasil kutipan itu apabila semuanya sudah mencukupi,” katanya kepada Harian Metro.
Yazid, 59, yang sudah mengenali Norish sejak awal 1990-an juga berharap agar orang ramai sudi untuk menghulurkan bantuan kepada sahabatnya itu.
“Saya kenal Norish sejak 1990-an, sebelum dia berhijrah ke Malaysia dan memulakan karier lakonan di sana. Saya kenal keluarga dan juga anak-anaknya.
“Jadi, sebagai sahabat dan kenalan rapat, ujian yang dihadapinya kini turut menyentuh emosi saya serta rakan-rakan lain dalam kumpulan WhatsApp kami.
“Saya berharap agar lebih ramai rakan-rakan penggiat seni di Singapura yang akan turut serta menyumbang bagi membantu Norish serta meringankan beban anak-anaknya,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai keadaan kesihatan Norish yang kritikal selepas dimaklumkan anaknya, Manda.
© New Straits Times Press (M) Bhd



