WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran kepada rakyatnya untuk tidak mendekati Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul, susulan ‘ancaman keselamatan’ dan suasana sesak di kawasan tersebut.
Amaran itu disiarkan di laman web Kedutaan AS di Afghanistan serta diciap di Twitter oleh Jabatan Negara AS di sini, namun tidak memberikan perincian mengenai sifat ancaman berkenaan.
Amaran yang dikeluarkan itu hanya memberitahu ‘isu keselamatan yang dipercayai bakal berlaku’, selepas ribuan penduduk cuba untuk melarikan diri dari Afghanistan selepas Taliban mengambil alih kuasa 15 Ogos lalu.
“Oleh kerana ancaman keselamatan di luar lapangan terbang, kita menasihatkan rakyat AS untuk mengelak daripada melakukan perjalanan ke lapangan terbang dan mengelak pintu masuk ke situ ketika ini sehingga anda menerima arahan oleh individu daripada wakil kerajaan AS untuk berbuat demikian,” menurut amaran dalam laman web Kedutaan AS di Afghanistan.
Puluhan ribu penduduk Afghanistan serta warga asing tertumpu di lapangan terbang tersebut dalam usaha untuk meninggalkan negara berkenaan.
Menurut Jabatan Pertahanan AS pula, seramai 17,000 orang termasuk 2,500 rakyat AS diterbangkan keluar dari Afghanistan.
Rakyat negara lain turut digesa mengambil langkah berjaga-jaga.
Kerajaan Jerman mengeluarkan amaran kepada rakyatnya supaya tidak mendekati kawasan lapangan terbang sementara Switzerland telah menunda penerbangan bagi mengeluarkan rakyatnya di Kabul.
Ketika ini lapangan terbang itu dikawal ketat pasukan tentera AS bagi membantu proses pemindahan warga asing serta rakyat Afghanistan.
Kerajaan AS berkata, semua anggota tentera negara itu akan dikeluarkan menjelang 31 Ogos ini. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




