Rakyat perlu rebut peluang kerja sektor perladangan

Rakyat perlu rebut peluang kerja sektor perladangan

bhnews@bh.com.my

KUALA NERUS: Rakyat tempatan digalak menceburi sektor perladangan yang menawarkan pendapatan lumayan serta memiliki pelbagai kelebihan lain.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sambutan rakyat terhadap sektor itu kurang menggalakkan walaupun pelbagai karnival kerjaya dan iklan dilakukan termasuk menerusi laman web JobsMalaysia.

“Sektor perladangan kurang menjadi pilihan kerana rakyat beranggapan ia termasuk dalam kategori industri kotor, berbahaya dan sukar sedangkan banyak kelebihan disediakan seperti rumah dan kemudahan lain selain pendapatan bulanan mencecah sehingga RM3,000.

“Anak muda yang mungkin tidak ada peluang untuk mendapat pendidikan akademik yang tinggi dan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sepatutnya merebut peluang yang ada ini.

“Justeru mereka yang berminat untuk mengisi kekosongan yang ada boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web kementerian, syarikat perladangan negara atau melalui JobsMalaysia,” katanya selepas Program Sumbangan Kepada Asnaf B40 dan anak yatim Parlimen Kuala Nerus di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khairuddin berkata, kementerian turut memohon mendapatkan kira-kira 32,000 pekerja asing sebagai penuai buah sawit tidak lama lagi.

Katanya, pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Sumber Manusia berhubung perkara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top