lizamridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kejatuhan harga durian sehingga melebihi 50 peratus ketika ini dianggap rahmat oleh golongan berpendapatan rendah termasuk B40.
Ini diakui ramai pembeli yang kini berkemampuan untuk membeli pelbagai jenis durian mahal seperti Musang King, black thorn, D24 serta udang merah pada harga lebih rendah.
Salah seorang pembeli, Nik Atikah Nik Abdullah, 70, berkata, penurunan harga durian memberi kelegaan kepada perbelanjaan isi rumah.
“Jika sebelum ini pembelian dibuat secara terhad berikutan harga tinggi ditawarkan. namun kini saya mampu membeli dengan lebih kerap dan dalam kuantiti lebih banyak. “Kalau dulu, saya beli hanya sedikit sahaja kerana mahal, namun kini saya mampu membeli berulang kali,” kata surirumah terbabit yang mengakui lebih selesa membeli di lokasi sama berbanding mencuba gerai lain.
Sementara itu, Dio Kadilao, 28, yang juga pekerja swasta berkata, harga durian yang lebih rendah musim ini membuka peluang untuknya mencuba pelbagai jenis durian lain selain durian Musang King.
“Saya kini tertarik mencuba durian kampung sebagai pengalaman baharu selepas melihat kualiti buahnya yang menarik.
“Saya memang peminat durian dan biasanya membeli dua hingga tiga kali sebulan membabitkan pelbagai jenis,” katanya.
Sementara itu pengusaha Permaisuri Durian di Bandar Sri Permaisuri di sini, Abdul Man, 68, berkata, kejatuhan harga durian musim ini memberi cabaran kepada peniaga kecil walaupun ia memberi kelebihan kepada pengguna.
Beliau berkata, penurunan harga didorong oleh lambakan hasil durian dari beberapa negeri pengeluar utama seperti Johor, Pahang dan Perak, selain pertambahan jumlah peniaga ketika musim puncak.
Menurutnya, harga Musang King yang sebelum dijual sekitar RM55 sekilogram kini turun kepada lingkungan RM35 sekilogram, bergantung kepada gred dan kualiti buah. Tambahnya, walaupun margin keuntungan semakin kecil, peniaga tetap melaras harga mengikut pasaran semasa bagi memastikan stok bergerak dan kos operasi dapat ditampung.
Harga yang lebih rendah juga dilihat membantu menarik pelanggan yang sebelum ini jarang membeli durian.
Seorang lagi peniaga durian jalanan yang enggan dikenali berkata, harga Musang King ketika ini ada dijual serendah sekitar RM10 sebiji bagi saiz kecil, jauh lebih rendah berbanding sebelum ini yang boleh mencecah antara RM38 hingga RM68 sekilogram, bergantung kepada jenis dan gred.
Dia menambah, durian kini turut dijual dalam pek kecil pada harga sekitar RM14 hingga RM15 bagi menarik pelanggan mengikut bajet berbanding sebelum ini RM20 ke RM25.
Menurut peniaga itu, perbezaan harga turut dipengaruhi lokasi jualan sama ada di kawasan kampung atau bandar, selain faktor kos pengangkutan dan musim durian itu sendiri.
Corak pembelian pelanggan juga berubah apabila ada yang memilih membeli secara biji, manakala sebahagian lagi memilih pek kecil.
Secara keseluruhan, penurunan harga durian musim ini dilihat memberi manfaat kepada pengguna daripada pelbagai lapisan masyarakat, namun pada masa sama menuntut peniaga kecil mengurus kos dan strategi jualan dengan lebih berhemah bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam pasaran yang semakin mencabar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




