Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mendedahkan beberapa perbualan WhatsApp yang diambil daripada dua nombor telefon milik dua individu dalam perbicaraan hari ke-14 prosiding pertuduhan pengabaian dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30.
Difahamkan, tarikh perbualan WhatsApp daripada dua telefon bimbit itu diekstrak daripada dua folder berbeza bernama ‘Baby Sayang’ dan Manja’ itu berlaku sebelum dan pada hari kehilangan kanak-kanak autistik Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin pada 5 Disember 2023.
Menurut saksi pendakwaan ke-25, Asisten Superintendan (ASP) Mohd Zaidi Abu Hasaan, 43, yang juga seorang juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer memaklumkan antara mesej WhstApp yang diekstrak daripada salah satu telefon tersebut adalah ‘stressnya sampai rasa nak bunuh orang saja’ dan ‘lantaklah nak hidup ke nak mati’ yang telah diserahkan kepada pegawai kes.
Perbualan Mesej 6 Bulan Sebelum Allahyarham Zayn Rayyan Hilang
Mohd Zaidi mendedahkan mesej tertera pada tarikh 20 Jun 2023, iaitu enam bulan sebelum kehilangan Allahyarham Zayn Rayyan pada 5 Disember 2023 antaranya ‘Kena belasah dah sekor-sekor, aku nak rehat pun tak boleh’ dan ‘hang belasah jela sampai puas’, ‘nanti sakit ke mati baru tahu’.
Mesej Pada Hari Kejadian Allahyarham Zayn Rayyan Hilang
Pada 5 Disember 2023 iaitu hari kejadian kehilangan Zayn Rayyan terdapat juga mesej yang dijadikan bukti oleh saksi pendakwaan ke-25 itu antaranya ‘Zayn hilang’, ‘Dia lari, lantaklah nak hidup ke nak mati dan ‘Letih gila aku mencari’.
Mohd Zaidi turut memaklumkan daripada hasil analisis mendapati salah satu telefon yang dirampas jenama iPhone menggunakan iCloud atas nama Ismanira, manakala telefon Huawei menggunakan akaun Google atas nama Zaim Ikhwan Zahari.
Pada 13 Jun 2024, pasangan suami isteri tersebut telah membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan kerana didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang boleh mendatangkan kecederaan fizikal.
Pertuduhan tersebut dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau hukuman penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui tidak bernyawa di sebuah anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, sekitar jam 10 malam.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, dan kemudian dijumpai dalam keadaan terbaring pada jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Sumber: Harian Metro
Kredit foto: MyNewsHub




