
Model Lisa Mariana (kiri) dan penyanyi Nayunda Nabila yang kedua-duanya dikaitkan dengan pegawai kerajaan Indonesia. – Foto: Agensi
JAKARTA – Amalan pegawai kerajaan menyalurkan wang haram kepada perempuan simpanan bagi menyembunyikan hasil rasuah kini menjadi sorotan apabila didedahkan oleh Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK).
Timbalan Ketua KPK, Ibnu Basuki Widodo berkata, majoriti pesalah rasuah adalah lelaki dan sebahagian daripada mereka menggunakan taktik ‘cuci duit’ dengan menyalurkan wang kepada individu lain, termasuk pasangan tidak rasmi bagi mengaburi jejak kewangan.
Menurutnya, selepas wang diagihkan kepada keluarga, simpanan dan kebajikan, lebihan dana sering disalurkan kepada wanita yang mempunyai hubungan peribadi dengan pegawai terbabit.
Fenomena itu bukan asing dalam masyarakat Indonesia, malah istilah ‘simpanan pejabat’ semakin popular di media sosial termasuk dalam trend yang memaparkan gaya hidup mewah wanita muda.
Kes berprofil tinggi turut menguatkan persepsi tersebut, antaranya melibatkan bekas Menteri Pertanian, Syahrul Yasin Limpo yang disabitkan kesalahan rasuah pada 2024 dan kini menjalani hukuman penjara 12 tahun.
Dalam perbicaraan, penyanyi Nayunda Nabila mengakui menerima wang dan barangan mewah daripada beliau, manakala model Lisa Mariana turut dikaitkan dengan beberapa tokoh politik.
Jurucakap KPK, Budi Prasetyo menjelaskan, bahawa dalam banyak kes, penerima mungkin tidak menyedari sumber wang tersebut, namun aset yang disyaki berpunca daripada jenayah tetap boleh dikesan dan dirampas. – Agensi



