Ratu rock ‘n’ roll, Tina Turner meninggal dunia

Ratu rock ‘n’ roll, Tina Turner meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular era 1980-an, Tina Turner meninggal dunia pada usia 83 tahun di Küsnacht dekat Zurich, Switzerland pada Rabu.

Pemergian mendiang yang pernah popular di seluruh dunia dengan lagu What’s Love Got To Do With It dan The Best itu diumumkan melalui laman media sosial rasmi beliau termasuk Facebook dan Instagram.

“Dengan dukacitanya kami mengumumkan pemergian Tina Turner

“Melalui muzik dan semangatnya terhadap kehidupan, beliau telah memukau berjuta peminat di seluruh dunia dan memberi inspirasi kepada bintang-bintang masa hadapan.

“Hari ini kita mengucapkan selamat tinggal kepada seorang sahabat yang meninggalkan karya terbesarnya kepada kita semua iaitu muziknya.

“Takziah kepada keluarganya. Tina, kami akan merindui anda,” jelas pentadbir akaun media sosial Tina Turner hari ini.

Tina atau nama sebenarnya Anna Mae Bullock dilahirkan di Brownsville, Tennessee, Amerika Syarikat (AS) pada 26 November 1939.

Pada 2013, mendiang bertukar kerakyatan Switzerland dan menetap di negara itu sehingga kematiannya.

Kerjaya muziknya bermula pada 1957 bersama kumpulan Kings of Rhythm yang ditubuhkan bekas suaminya, Ike Turner.

Pada 1984, album Private Dancer yang mengandungi lagu hit What’s Love Got To Do With It memenangi Anugerah Grammy bagi kategori Album Terbaik dan lagu itu merupakan yang pertana dan satu-satunya yang menduduki tempat pertama dalam Billboard Hot 100.

Mendiang juga pernah berlakon dalam filem Tommy pada 1975 dan dan Mad Max Beyond Thunderdome 10 tahun kemudian.

Punca kematian Tina tidak dinyatakan namun difahamkan, beliau sebelum ini mempunyai masalah kesihatan dan tidak lagi aktif dalam bidang muzik selepas 2009. – MalaysiaGazette