Real Madrid akhiri badi Eropah

Real Madrid akhiri badi Eropah

MADRID: Real Madrid memastikan kemaraan ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun selepas menewaskan Atalanta 3-1 pada aksi timbal balik dan 4-1 secara agregat.

Sergio Ramos menandakan kepulangannya daripada kecederaan dengan menyempurnakan sepakan penalti selepas Karim Benzema meneruskan ketajamannya di depan gawang dengan menghukum kesilapan penjaga gol Atalanta Marco Sportiello.

Selepas permulaan garang skuad kendalian Zinedine Zidane itu, Atalanta sukar untuk bangkit dan sekadar merapatkan jurang menerusi Luis Muriel sebelum Marco Asensio meledak gol ketiga Madrid.

Ramos bermain lebih sejam pada penampilan keduanya sejak pulih daripada kecederaan lutut manakala jaringan Benzema adalah yang kelapan dirinya dalam lapan perlawanan, dan gol Liga Juara-Juara ke-70 penyerang Perancis itu – pemain kelima mencapai angka berkenaan.

Cristiano Ronaldo mendahului senarai penjaring pada 134 gol, diikuti Lionel Messi (120), Robert Lewandowski (72) dan Raul Gonzalez (71). – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top