Rebut baki baucar diskaun RM180,000 portal Agrobazaar Online (ABO)

Rebut baki baucar diskaun RM180,000 portal Agrobazaar Online (ABO)

SERDANG: Orang ramai masih berpeluang merebut diskaun baucar belian ditawarkan portal Agrobazaar Online (ABO) yang kini berbaki RM180,000.

ABO yang dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menawarkan keseluruhan RM200,000 nilai baucar sepanjang penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 kali ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Datuk Mohamad Mustahapa Awang berkata, orang awam diseru merebut tawaran diskaun itu khususnya bagi tempoh empat hari berbaki MAHA 2022 yang bakal berakhir Ahad ini.

Beliau berkata, lebih RM20,000 sudah ditebus pengguna setakat ini dan pihaknya menjangkakan jumlah itu meningkat menjelang hari terakhir penganjuran itu.

“Bagi merebut diskaun itu, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi ABO dan berpeluang menikmati harga diskaun bagi lebih 756 jenis produk membabitkan 235 usahawan bimbingan FAMA,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, bagi mereka yang membuat belian menerusi portal itu, mereka boleh mengambil barangan di laman kiosk AgroTrade di Dewan A, MAEPS atau menggunakan khidmat penghantaran dengan diskaun RM5.

Dalam pada itu, Mustahapa berkata, FAMA sebelum ini turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan empat syarikat pemasaran digital bagi membantu mempromosikan ABO di platform secara dalam talian di luar negara.

Menurutnya, kesemua syarikat itu bersetuju memasarkan produk menerusi platform Agrobazaar Online, portal digital swasta dan meluaskan pasaran ke Singapura, Indonesia, Brunei dan Australia.

“Secara keseluruhan, sebanyak 21,000 produk makanan yang disediakan oleh 7,000 usahawan bimbingan FAMA ditawarkan menerusi portal berkenaan,” katanya.

Katanya, FAMA komited menyediakan luang pasaran digital bagi membantu memasarkan produk agro makanan menerusi platform ABO dan platform e-dagang swasta.

Malah, katanya, FAMA juga akan memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada usahawan agro makanan dalam memasarkan produk keluaran mereka secara atas talian. – UTUSAN