Rekod kes Covid-19 terendah tahun ini

Kuala Lumpur: Negara merekodkan 1,063 kes baharu positif Covid-19 hari ini, iaitu jangkitan harian terendah sejak awal Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan sejumlah 326,034 kes kumulatif Covid-19 di Malaysia.

“Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 323 kes, diikuti Sarawak (183), Pulau Pinang (175), Johor (91) dan Kuala Lumpur (86).

“Selain itu, Kelantan merekodkan 67 kes, Sabah (38), Kedah (32), Perak (24), Terengganu (23), Negeri Sembilan (17), Pahang (2) dan masing-masing satu kes di Melaka serta Labuan, katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, dua kawasan mencatatkan sifar kes harian baharu iaitu Putrajaya dan Perlis.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19