PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir berada di kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan remaja itu pada Jumaat lalu kira-kira pukul 5.25 petang.
Beliau berkata, remaja berkenaan dikenali sebagai Qaseh Adriyana Zainal Abidin merupakan seorang warganegara Malaysia berbangsa Melayu.
“Remaja itu dipercayai hilang sejak kira-kira pukul 6.30 pagi pada hari yang sama sebelum laporan polis dibuat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, Qaseh Adriyana mempunyai ketinggian kira-kira 150 sentimeter selain berat 48 kilogram, bertubuh tinggi dan kurus, berambut lurus serta berkulit sawo matang.
“Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan remaja berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-8911 4222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nursyaza Farhah Samhairi di 017-6919817,” jelasnya.
Tambahnya, orang ramai juga boleh hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu mengesan mangsa. – UTUSAN




