PIM himpunkan 40 pempengaruh digital dari seluruh negara

PIM himpunkan 40 pempengaruh digital dari seluruh negara

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Hampir 40 pempengaruh digital akan berhimpun dalam acara sukan dan hiburan terbesar iaitu Perlawanan Influencer Malaysia (PIM) 2026 di Stadium Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, di sini, pada 15 September depan.

Dianjurkan Nakhoda Action Lab sempena sambutan Hari Malaysia, PIM dijadualkan bermula dari jam 8 hingga 11 malam dengan kemasukan adalah percuma kepada orang ramai.

Pengarah Projek PIM 2026, Suzana Sukaimi berkata, acara itu bukan sekadar perlawanan bola sepak, malah, menjadi landasan jaringan profesional, pembangunan ekonomi industri pencipta kandungan serta pengukuhan hubungan positif antara pempengaruh, jenama dan masyarakat.

“Pihak kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Muhammad Imran atau CEO.FIFA (TikTok handle) yang mengetuai pembangunan kandungan sebagai Content Producer Lead PIM 2026 bersama barisan pempengaruh yang terbabit.

“Acara seperti ini juga membuka peluang kepada pempengaruh untuk membina jaringan profesional, menjalinkan kerjasama dengan jenama dan agensi, serta memperluaskan potensi kerjaya mereka.

“Melalui PIM 2026, kami berharap platform ini dapat menghubungkan komuniti, mencipta peluang baharu dan memberi impak positif kepada industri kreatif serta masyarakat,” katanya pada sidang media PIM 2026 yang berlangsung di sini. Hadir sama, Pengarah Eksekutif Nakhoda Action Lab, Sayf Ismail.

Mengulas lanjut, kata Suzana, pempengaruh mungkin memiliki jumlah pengikut yang tinggi dan pengaruh besar di media sosial tetapi kurang terdedah kepada aspek profesional seperti pengurusan media, hubungan dengan pelanggan serta komunikasi korporat.

Katanya, pihaknya mahukan pempengaruh keluar daripada dunia digital semata-mata dan belajar berinteraksi dengan media arus perdana, memahami cara berurusan dengan penaja dan klien serta membina imej profesional untuk berkembang sebagai pemain industri kreatif.

“Berdasarkan pengalaman mengendalikan pelbagai kempen membabitkan pempengaruh sebelum ini, masih ramai pencipta kandungan yang memerlukan pendedahan terhadap standard profesional industri.

“Ramai pempengaruh mempunyai jutaan tontonan dan kadar interaksi yang tinggi tetapi mungkin belum pernah menghadiri sidang media atau berurusan secara profesional dengan pihak industri. Jadi, melalui PIM 2026, kami mahu membimbing mereka supaya lebih bersedia dan mampu membawa diri dengan baik dalam pelbagai platform,” katanya.

Kata Suzana lagi, gabungan keseluruhan pempengaruh yang terbabit dijangka mewakili hampir 20 juta pengikut merentasi TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube, sekali gus memberikan nilai komersial yang tinggi kepada penaja serta rakan strategik.

Acara bakal dimeriahkan dengan kehadiran barisan pempengaruh digital popular antaranya Adrian Edy (1.6 juta pengikut di TikTok), Taufiq Hanafi (211,000 pengikut di IG), Erul Samah (102,000 pengikut) dan Aiman Sekaichii (89,600 pengikut).

Selain barisan pempengaruh, PIM 2026 dijangka dimeriahkan dengan kehadiran beberapa legenda bola sepak negara dan selebriti tanah air.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top