Remaja perempuan bunuh ibu bapa, siar gambar mayat

Remaja perempuan bunuh ibu bapa, siar gambar mayat

AMSTERDAM – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Belanda ditahan selepas didakwa menikam ibu bapanya hingga mati serta mencederakan anjing peliharaan keluarga sebelum berkongsi gambar kejadian berdarah itu kepada rakan-rakannya menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurut laporan media tempatan, mangsa yang dikenali sebagai Johan dan Mathilda, masing-masing berusia 53 tahun, ditemukan maut dengan kesan tikaman di kediaman mereka di Groningen pada Khamis lalu.

Anjing peliharaan keluarga jenis Golden Retriever turut mengalami kecederaan akibat ditikam dalam kejadian itu, namun keadaan haiwan berkenaan masih belum diketahui.

Laporan turut mendakwa suspek mengambil gambar kedua-dua ibu bapanya selepas kejadian sebelum menghantarnya kepada beberapa rakan sekelas melalui WhatsApp.

Seorang pelajar memberitahu akhbar tempatan bahawa gambar tersebut menunjukkan kedua-dua mangsa terbaring berlumuran darah dengan mata terbuka, manakala sebilah pisau turut kelihatan di lokasi kejadian.

“Bapanya terbaring di atas lantai, manakala ibunya berada di atas katil. Terdapat banyak darah dan sebilah pisau dapat dilihat,” katanya.

Polis bagaimanapun enggan mengulas mengenai penyebaran gambar tersebut, namun menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi imej berunsur ganas dan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Menurut beberapa rakan sekolah, remaja terbabit dikatakan berdepan masalah identiti dan sering berpura-pura menjadi seekor anjing di sekolah.

Mereka mendakwa suspek kerap merangkak dengan kedua-dua tangan dan kaki, menyalak seperti anjing serta memakai ekor, telinga anjing tiruan dan sarung tangan ketika berada di sekolah.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mengesahkan sama ada dakwaan mengenai tingkah laku suspek mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan tersebut.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui sebuah pertubuhan bantuan, ahli keluarga Johan dan Mathilda berkata, mereka masih sukar menerima hakikat kehilangan kedua-dua mangsa.

“Kami hampir tidak dapat memahami tragedi yang menimpa Johan dan Mathilda dari Meerstad.

“Namun, sokongan serta ucapan takziah daripada ramai pihak amat bermakna dan sedikit sebanyak memberi kekuatan kepada kami,” menurut kenyataan itu.

Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian, manakala suspek masih ditahan untuk membantu siasatan. – Agensi

Scroll to Top