Rentak Tang Jie-Ee Wei kurang menjadi

Rentak Tang Jie-Ee Wei kurang menjadi

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Impian beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk merangkul kejuaraan di Masters China sekali gus muncul juara dua kejohanan berturut tidak kesampaian.

Ia selepas gandingan negara itu tewas kepada beregu Thailand yang menduduki ranking keempat dunia, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 8-21, 17-21, hari ini.

“Kami bersyukur dapat menamatkan perlawanan dengan keadaan badan yang sihat. Kami amat menghargainya. Buat masa sekarang, fokus kami adalah untuk pulih secepat mungkin dan bersedia untuk kejohanan seterusnya,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mengulas mengenai aksi lesu di set pertama, Tang Jie mengakui mereka tidak bermula dengan baik sehingga menyebabkan lawan mudah meraih kemenangan.

“Saya fikir ia lebih kepada masalah teknikal. Kami tidak bermula dengan baik pada set pertama. Kami hanya cuba menyesuaikan diri dengan lebih cepat pada set pertama,” katanya.

Sementara itu, Ee Wei menafikan mengalami sebarang kecederaan belakang pada aksi hari ini yang menjadi punca dia gagal beraksi dengan baik.

“Jika anda maksudkan perlawan sebelum ini di mana saya mengalami kecederaan belakang, ia tidak menjejaskan aksi hari ini. Saya rasa teknik permainan kami di gelanggang hari ini tidak menjadi. Itulah masalah utama,” katanya kepada BWF.

Berlangsung di Shenzhen Arena, Tang Jie-Ee Wei serba tidak menjadi pada set pertama apabila ketinggalan agak jauh sebelum tewas mudah 8-21.

Bersambung di set kedua, gandingan negara yang menduduki ranking ketiga dunia itu memperkemaskan rentak permainan, namun usaha mereka masih gagal sekali gus tewas dalam tempoh 35 minit.

Dengan kemenangan terbaru itu, lawan mereka dari Thailand mengukuhkan rekod pertemuan apabila memenangi empat daripada lima pertemuan sesama mereka.

Bulan lalu di Paris, Tang Jie-Ee Wei melakar sejarah apabila muncul beregu campuran pertama negara meraih gelaran juara dunia selepas mengejutkan gandingan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin menerusi kemenangan straight set.

Tang Jie-Ee Wei tidak menyertai sebarang kejohanan selepas Kejohanan Dunia sebelum kembali beraksi di Masters China.Selaku naib juara, Tang Jie-Ee Wei membawa pulang AS$40,250 (RM169,300).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top