Respons Tony Pua cetus keresahan, negara tidak perlu pemimpin ledak kontroversi – Pas

Respons Tony Pua cetus keresahan, negara tidak perlu pemimpin ledak kontroversi – Pas

SHAH ALAM – Respons tidak cermat Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semakin meningkatkan keresahan awam, sekali gus mencetuskan kontroversi baharu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, respon tersebut tidak perlu dikeluarkan pada saat suhu ketegangan kaum dan agama dalam masyarakat sudah sedia tinggi.

Menurutnya, titah baginda hendaklah difahami dalam konteks luas melalui lensa semangat tanggungjawab kebangsaan dan sikap sederhana agar semua pihak tidak bertindak atau membuat kenyataan yang boleh memarakkan sentimen perkauman.

“Ia termasuklah membuat kenyataan yang boleh menghakis kerukunan sosial atau melemahkan rasa hormat terhadap institusi-institusi teras, asas sejarah dan jati diri kebangsaan yang menjadi tonggak pembinaan negara.

“Pas percaya apa-apa respons atau kenyataan melibatkan institusi Raja-raja Melayu hendaklah dibuat dengan penuh hati-hati, adab dan kehormatan.

“Kenyataan itu hendaklah juga setanding dengan status dan peranan perlembagaan, sejarah dan budaya yang dimainkan oleh raja-raja sebagai tonggak kestabilan dan kedaulatan negara dalam kerangka sistem demokrasi Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN TONY PUA:Tony Pua kongsi penghayatan mukadimah Rukun Negara

‘Saya terpaksa cari maksud kaduk naik junjung’, – Tony Pua

Persenda titah sultan: Tony Pua biadab, bagai kaduk naik junjung – Asyraf Wajdi

Tony Pua dakwa kuasa raja terhad pada aspek tertentu

Persenda titah sultan: Tony Pua biadab, bagai kaduk naik junjung – Asyraf Wajdi

‘Cukup-cukuplah kerjasama dengan mereka, titah Sultan pun sanggup diperlekeh’ – Akmal Saleh

Hormati Institusi Raja, jangan pilih Perlembagaan ikut kepentingan politik – Mohamed Sukri

Ujarnya, episod terbaru itu tidak boleh dilihat secara berasingan yang menyaksikan meningkatnya pertikaian awam yang memecah kerukunan melibatkan pelbagai isu, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), penggunaan Bahasa Cina pada dokumen rasmi kerajaan dan penternakan babi di Selangor.

Menurutnya, keaadan itu turut membabitkan perdebatan mengenai perlembagaan, dasar kerajaan, Bahasa Kebangsaan, dasar dan falsafah pendidikan kebangsaan, selain isu agama dan kaum.

“Sikap mempersoalkan titah Diraja apabila tidak memihak kepada kepentingan sendiri, tetapi menerimanya apabila selari dengan kehendak sendiri hanya mencerminkan sikap hipokrit dan oportunis, bukannya patriotisme atau penghormatan terhadap undang-undang.

“Isu-isu ini boleh dianggap dan ditangani sebagai isu pentadbiran atau pendekatan, namun pendebatan emosinal dan dipolitikkan akan menyumbang peningkatan keresahan awam, menurunnya kepercayaan dan semakin meruncingkan polarisasi sedia ada.

“Pada saat negara berdepan dengan tekanan ekonomi dan ketidaktentuan global, Malaysia memerlukan kepimpinan yang menyuburkan keyakinan serta kepercayaan awam,” katanya.

Katanya, negara tidak perlu pemimpin yang meledakkan kontroversi demi kontroversi dipercayai kerana keterdesakan politik, kegagalan mengawal emosi atau ketumpulan kesedaran mengenai sejarah panjang negara ini dan ciri-ciri khas masyarakatnya.

 

 

Scroll to Top