Rexy puji semangat pemain

Rexy puji semangat pemain

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kemenangan Malaysia ke atas India pada Piala Sudirman boleh dianggap cukup manis apabila sebelum ini tewas kepada pasukan itu di peringkat Kejohanan Badminton Berpasukan Asia pada Februari.

Bukan sahaja meraih kemenangan bersih 5-0 malah kemenangan itu turut menyaksikan Malaysia mengesahkan slot ke suku akhir selepas mengumpul enam mata hasil dua kemenangan dalam Kumpulan C.

Bagi Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky berkata, dia memuji aksi bersemangat ditampilkan pemain negara ketika menentang India.

Malah katanya, dia menyifatkan kunci kemenangan Malaysia disebabkan pemain berjaya menterjemahkan apa yang dipelajari ketika sesi latihan ketika turun beraksi di gelanggang.

“Pertama sekali terima kasih kepada tuhan kerana kita berhasil menewaskan pasukan india. Semangat pasukan dan semua pemain sangat baik dan bagus dan hasilnya mereka berjaya mempamerkan aksi yang mantap.

“Jadi apa yang kita buat ketika ‘work out’ dan sesi latihan kepada pemain ini, mereka dapat implementasikannya di atas gelanggang. Malah semangat pemain semua sangat positif sekaligus membuatkan pasukan tidak goyah.

“Malah pemain juga dilihat sangat tenang dalam fikiran mereka dan itu saya rasa antara kunci kemenangan kita menentang India,” katanya.

Terdahulu Malaysia berjaya mengesahkan slot ke suku akhir Piala Sudirman 2023 selepas menumbangkan India 5-0 semalam.

Dalam pada itu Rexy ketika ditanya berkenaan perancangan pasukan negara menentang Taiwan esok, dia mengambil pendekatan kunci mulut berkenaan ramuan pemain yang akan digunakan.

Katanya perkara berkenaan masih dalam perbincangan memandangkan pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum memuktamadkan pemain yang akan diturunkan pada aksi terakhir Kumpulan C itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top