Rezeki Tok Minah tidak datang bergolek

Rezeki Tok Minah tidak datang bergolek

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Walaupun sudah menjangkau usia emas namun seorang nenek masih mampu mengerah keringat untuk berkebun, memanjat pokok duku apabila tiba musimnya dan berniaga nasi lemak.

Minah Omar, 74, atau lebih dikenali sebagai Tok Minah dari Kampung Sekayu di sini, berkata, dia akan melakukan pelbagai kerja kampung terutama berasaskan pertanian mengikut musim hasil tani berkenaan.

Menurutnya, Disember merupakan musim buah kelubi sekali gus mendorongnya mendapat buah hutan berkenaan dari Pahang sebelum dijual di daerah ini.

Katanya, buah kelubi biasanya diperoleh dalam kuantiti sebanyak 240 kilogram (kg) dan dijual serendah RM5 sekilogram berbanding harga pasaran RM8 sekilogram.

Minah berkata, biasanya buah kelubi dijadikan jeruk atau dimakan mentah oleh penggemarnya dan dia menjual buah yang diperoleh daripada masyarakat Orang Asli itu sejak 10 tahun lalu.

“Disember merupakan musim kelubi, manakala musim buah duku pula pada Julai hingga Oktober, selain itu saya turut berkebun sayur-sayuran dan berniaga nasi lemak bersama anak.

“Hidup dalam suasana kampung sudah semestinya terdedah dengan hasil pertanian mendorong saya untuk tidak bergoyang kaki malah melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara diri sendiri,” kata nenek kepada 14 orang cucu itu.

Menurutnya, dia tidak terlalu memikirkan keuntungan malah melakukan pelbagai kerja pada usia senja ibarat ‘tonik’ buatnya bagi menyihatkan badan.

Katanya, buah kelubi yang diperoleh dari Pahang akan dibawa pulang oleh ahli keluarganya sebelum dijual, manakala permintaannya di sekitar daerah ini agak tinggi kerana mempunyai peminatnya tersendiri.

“Setiap kali tiba musim kelubi, pelanggan akan mencarinya mendorong saya untuk mendapatkan hasil hutan itu untuk dipasarkan.

“Saya akui buah kelubi mempunyai permintaan tinggi kerana ia adalah buah bermusim dan sukar diperoleh serta tidak dijual secara meluas,” katanya.

Menurutnya, rutinnya tidak tertumpu pada satu kerja malah berkebun juga turut dilakukannya selain masih mampu memanjat pokok duku apabila tiba musimnya.

Katanya, walaupun mengalami masalah sakit lutut namun dia tetap bersyukur kerana masih dikurniakan kudrat untuk bekerja kerana sudah terbiasa sejak dari remaja.

Minah berkata, sekiranya tidak melakukan sebarang pekerjaan dia akan berasa tidak selesa justeru pelbagai kerja kampung dilakukan bagi memanfaatkan masa sehariannya.

“Insya-Allah selagi masih diberi kesihatan saya akan terus bekerja kerana rezeki tidak datang bergolek malah memerlukan pengorbanan dan usaha,” katanya.

Menurutnya, kerja yang dilakukannya iaitu berkebun sawit, jagung, memanjat pokok duku untuk menuai hasil, menyediakan juadah nasi lemak sebelum dijual dan menjual buah kelubi apabila tiba musimnya selain beberapa kerja sampingan lagi yang dilakukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top