ROM: Ribuan anggota pasukan keselamatan dan pertahanan Itali mengadakan perarakan besar-besaran bagi mendesak kerajaan menangani krisis ekonomi.
Mereka turut menuntut jaminan perlindungan yang lebih baik buat kebajikan penjawat awam yang berkhidmat mempertahankan negara.
Kira-kira 6,000 anggota angkatan tentera dan perkhidmatan keselamatan Itali membanjiri jalan raya di ibu kota ini bagi menuntut kenaikan gaji, kadar pencen yang lebih tinggi serta perlindungan tempat kerja yang lebih kukuh pada Sabtu lalu.
Demonstrasi tersebut menyaksikan penyatuan luar biasa wakil-wakil daripada Tentera Darat, Tentera Laut, Tentera Udara, polis tentera dan polis kewangan dalam satu protes bersama yang julung kali dianjurkan oleh kesatuan-kesatuan utama pertahanan dan keselamatan negara itu.
Perhimpunan itu diadakan hanya beberapa hari selepas kerajaan memperbaharui perjanjian kolektif yang meliputi kira-kira 430,000 kakitangan ketenteraan dan keselamatan.
Perjanjian itu antaranya menawarkan kenaikan gaji bulanan kasar sebanyak €188 (RM878.77) dan bayaran tunggakan sekali sahaja sebanyak €2,448 (RM11,442) di samping komitmen kerajaan untuk memulakan rundingan berhubung reformasi sistem pencen.
Bagaimanapun, beberapa kesatuan sekerja termasuk Sinafi, Kesatuan Baharu Polis Tentera (NSC), Usami Aeronautica, Itamil dan Silmm enggan menandatangani perjanjian tersebut.
Ini kerana menyifatkannya masih belum mencukupi untuk menangani isu gaji dan kebajikan persaraan.
Tindakan itu mendorong mereka menganjurkan protes berkenaan bagi terus menekan kerajaan.
Berarak di bawah slogan ‘Setiap hari kami berkhidmat untuk Itali’, para peserta protes membawa kain rentang di sepanjang jalan raya sekitar bandar Rom. – AGENSI




