Ribut: Pelanggan kedai makan lari selamatkan diri – Utusan Digital

TAMPIN: Lebih 40 pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah kedai Majlis Daerah Tampin (MDT) berhampiran Dataran Arena di sini lari menyelamatkan diri selepas kawasan berkenaan dilanda ribut, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, dua buah kedai, tiga gerai penjaja, sebuah sekolah, dan lapan buah rumah di Taman Bukit Tampin turut terjejas.

Seorang peniaga, Amiluddin Mohd. Jan, 35, berkata, ketika kejadian kesemua pelanggan yang duduk di meja bahagian luar segera masuk ke bahagian dalam kedai kerana melihat pusaran angin.

Menurutnya, dalam masa hanya 10 minit, kedai makan yang diusahakannya sejak 12 tahun lalu itu rosak teruk dengan lebih 30 keping atap tercabut.

“Mujur dalam kejadian ini tiada pelanggan yang cedera. Dalam masa 10 minit kejadian ini berlaku, ada pelanggan yang mengalunkan azan dan keadaan kembali tenang selepas itu.

“Bagaimanapun, banyak barangan yang rosak serta makanan dan minuman pelanggan juga bertaburan di bawah meja.

“Susulan kejadian ini, empat khemah dan dua buah gerai kecil rosak manakala berpuluh-puluh atap tercabut. Sistem pendawaian elektrik kedai juga rosak serta perlu dibetulkan semula sebelum kedai ini boleh beroperasi semula,” katanya ketika ditemui hari ini.

SERI Mulyati Jasimin menunjukkan siling rumah sewanya yang pecah disebabkan perabung atap jatuh dalam kejadian ribut di Taman Bukit Tampin, Tampin. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH

Sementara itu, mangsa ribut di Taman Bukit Tampin, Seri Mulyati Jasimin, 26, berkata, pada waktu kejadian dia berada seorang diri di rumah kerana suaminya berada di tempat kerja.

“Pada mulanya, saya lihat cermin tingkap di bahagian dapur bergegak kemudian disusuli angin kuat. Kemudian ada bunyi dentuman kuat di bilik solat.

“Rupa-rupanya atap perabung terjatuh sehingga menyebabkan siling di bilik berkenaan pecah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat jumlah keseluruhan premis yang terjejas susulan kejadian ribut petang semalam.