Dalam perkembangan terbaru, polis berjaya menemui komponen rim besi yang dipercayai menjadi punca kemalangan maut di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara pada 23 Disember lalu.
BACA: Tragedi Lebuhraya: Tujuh Termasuk Bayi Maut Dalam Kemalangan Ngeri Melibatkan Lima Kenderaan
Memetik laporan Berita Harian, rim tersebut ditemui di sebuah pusat pelupusan sampah di Jalan Solok, Tangkak, Johor, selepas ia diserahkan oleh subkontraktor Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (PROPEL).
Rim lori dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, memaklumkan bahawa komponen tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Sementara itu, Malaysia Gazette melaporkan pihak polis sebelum ini sedang giat mencari tayar lori yang didakwa menjadi punca kemalangan yang meragut 7 nyawa tersebut.
Ia dikatakan menjadi bukti utama kes selepas tular rakaman dashcam dan kenyataan pemandu lori menyatakan tayar lori tercabut dan tergolek ke lorong tengah.
Ashari Abu Samah berkata, tayar bagaimanapun tidak ditemui di lokasi kejadian. Pegawai Operasi Propel memaklumkan kepada pihak polis bahawa sisa sampah nahas di lokasi kemalangan telah dibawa oleh sebuah lori roro (pengangkut sampah).
Nahas lima kenderaan, 7 maut

Terdahulu, nahas lima kenderaan melibatkan sebuah bas persiaran, dua lori, sebuah kereta dan sebuah MPV telah menyebabkan tujuh individu maut.
Selain itu, 33 individu lain dilaporkan cedera berpunca daripada tayar lori yang tercabut di lorong tengah lebuh raya.





