Risiko jerebu Asia Tenggara meningkat

JAKARTA – Jerebu kini menyelubungi sebahagian kawasan di Borneo, Indonesia dan keadaan itu dijangka menjadi lebih buruk susulan peningkatan jumlah titik panas yang telah dikenal pasti.

Jumlah titik panas dilaporkan melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih sedekad, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kebakaran hutan besar-besaran dan risiko jerebu tebal yang akan menyelubungi rantau Asia Tenggara.

Lebih 3,500 titik panas direkodkan setakat pertengahan Ogos iaitu lebih empat kali ganda berbanding jumlah pada Julai dan merupakan jumlah tertinggi sejak 2015

“Kita sedang berdepan situasi yang amat sukar. Kesemua 767 anggota kami telah dikerahkan untuk menangani kebakaran hutan di seluruh Borneo.

“Kami perlu kekalkan stamina masing-masing kerana bulan September dan Oktober diramalkan lebih kering disebabkan corak cuaca El Nino yang ekstrem,” menurut jurucakap di Kementerian Perhutanan, Yudho Shekti Mustiko.

Data dikeluarkan pemerintah pada awal minggu lalu menunjukkan hampir 95,000 hektar musnah dijilat api sepanjang bulan lalu.

Keluasan kawasan yang terbakar setakat ini sudah melebihi rekod musim El Nino pada 2019 dan 2023, namun masih belum menyamai kemusnahan besar pada 2015.

Indonesia mengalami cuaca kering luar biasa sejak beberapa minggu lalu dengan jumlah taburan hujan jauh lebih rendah dan suhu purata kira-kira 1.2 darjah Celsius lebih tinggi daripada rekod biasa.

Agensi meteorologi Indonesia turut memberi amaran mengenai keadaan cuaca berisiko tinggi untuk kebakaran di beberapa wilayah termasuk sebahagian besar Kalimantan, Sumatera dan Jawa. – Agensi

Info

  • Pada 2015, kebakaran hutan besar-besaran mencetuskan krisis jerebu serantau, mengakibatkan Indonesia menanggung kerugian kira-kira AS$16 bilion (RM65 bilion) dan mencetuskan ketegangan diplomatik dengan negara jiran.
Scroll to Top