Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah mengutus surat kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi mendapatkan perhatian terhadap isu membabitkan pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di negara berkenaan.
Menurut laporan Buletin Malaysia, Anwar berkata, permasalahan yang membelenggu FELDA bukan disebabkan pengurusan di peringkat pengurus atau peneroka, sebaliknya berpunca daripada aspek pengurusan dan keputusan yang dibuat di peringkat atasan.
“Isu masalah hotel itu baik London atau Kuching, itu kecil. Isu yang paling besar termasuk pelaburan di Indonesia, Eagle High, yang sekarang tersangkut di Mahkamah Tertinggi Indonesia.
“Saya pun dah menulis surat kepada Presiden Prabowo Subianto meminta beliau melihat juga permasalahan ini,” katanya.
Foto: FB FELDA
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra bersama Pengurusan Tertinggi FELDA di Bangi, hari ini.
Anwar berkata, kegagalan menangani isu berkenaan boleh menyebabkan nilai pelaburan yang berpotensi mencecah RM2.5 bilion merosot kepada kira-kira RM200 juta sahaja.
“Ini satu contoh. Saya mahu pengurus tahu masalah ini dan betapa beratnya kita bila salah mengurus,” ujarnya.
Foto: FB FELDA
Sebelum ini, FELDA dilaporkan masih belum menerima manfaat secara langsung daripada penjualan saham PT Eagle High Plantation Tbk berikutan wujudnya tanggungan pinjaman dengan sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan.
Sumber: Buletin Malaysia (Afrina Romzi)
