Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah berjaya mengutip RM6.17 bilion sumbangan levi sejak 2023 dengan majoriti daripadanya dibelanjakan untuk melatih pekerja di seluruh negara.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, daripada jumlah itu hampir 94 peratus iaitu RM5.77 bilion telah digunakan untuk melatih kira-kira empat juta pekerja.
Beliau menambah, HRD Corp juga berjaya menggandakan hasil kutipan Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) dengan lebihan sebanyak RM1 juta berbanding RM500,000 pada tahun 2024.
Jelas beliau lebihan tersebut juga akan disalurkan semula kepada program latihan untuk pekerja ekonomi gig.

“Keputusan ini dibuat susulan kelulusan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 baru-baru ini, yang buat pertama kali memberikan perlindungan tenaga kerja kepada jutaan pekerja gig di Malaysia.
“Langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan dan HRD Corp untuk memastikan semua segmen tenaga kerja, termasuk mereka dalam ekonomi gig, mendapat akses saksama kepada latihan dan peluang pembangunan kerjaya,” katanya.
Beliau berucap demikian sewaktu melancarkan NHCCE 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Dr. Mohd Shaharin Umar, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon; Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan.

Sementara itu, Steven berkata, ekonomi gig kini menjadi sebahagian besar daripada pasaran buruh negara.
Katanya, dengan melabur dalam peningkatan kemahiran pekerja ekonomi gig, kerajaan membantu mereka beralih ke peranan yang lebih berkemahiran tinggi dan berpendapatan lebih baik.
“Ini sekali gus memastikan Malaysia terus bergerak ke arah matlamat 35 peratus tenaga kerja berkemahiran menjelang 2030,” katanya lagi.
Sementara itu, Abu Huraira dalam ucapannya berkata, NHCCE mencerminkan peranan Malaysia yang semakin menonjol dalam memacu keutamaan pembangunan modal insan serantau.

Katanya, NHCCE kini menjadi lambang utama agenda modal insan Malaysia dan turut melangkaui sempadan negara.
“Platform ini membolehkan kita berkongsi pandangan, membina kerjasama dan melaksanakan tindakan bermakna untuk mempersiapkan tenaga kerja ASEAN bagi menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
NHCCE merupakan persidangan pembangunan modal insan terbesar di Asia Tenggara dan ia mencerminkan kepimpinan Malaysia dalam menerajui agenda peningkatan kemahiran dan latihan semula di rantau ini bagi membina tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan.
Bertemakan “Menerajui Revolusi Modal Insan”, persidangan ini membincangkan bagaimana Kecerdasan Buatan (AI) dan perubahan teknologi dapat mengubah landskap tempat kerja sambil memupuk nilai keterangkuman, daya tahan dan hubungan kemanusiaan.

Diadakan dari 6 hingga 8 Oktober 2025, NHCCE 2025 menampilkan 33 penceramah antarabangsa dan tempatan, termasuk Dr. Michio Kaku, Sonny Bill Williams, Graeme Codrington, David Coulthard, Dato’ Sri Idris Jala dan Datuk Nicol David.
Mereka akan mengupas pelbagai topik utama seperti tenaga kerja masa depan, kemampanan, transformasi digital dan kepimpinan, menarik penyertaan kira-kira 3,000 delegasi dari dalam dan luar negara.
Lebih 300 pempamer turut mempamerkan pelbagai inovasi terkini dalam pembangunan modal insan, di samping sesi rangkaian, kelas induk dan Pameran Kerjaya MYFutureJobs oleh PERKESO.




