RM9.6 juta potensi jualan untuk PKS direkod selepas pembaharuan MoU Malaysia-Turkiye

RM9.6 juta potensi jualan untuk PKS direkod selepas pembaharuan MoU Malaysia-Turkiye

PETALING JAYA: SME Corp. Malaysia mencatatkan satu lagi pencapaian yang membanggakan melalui pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Small and Medium Enterprise Development Organisation of Turkiye (KOSGEB) pada 11 September 2023.

Majlis yang berlangsung di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur telah membuktikan komitmen padu oleh kedua-dua buah negara dalam meningkatkan hubungan dua hala dan menyokong pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Pembaharuan MoU tersebut juga diperkukuh dengan pengumuman ‘Global Be-Linked’, iaitu inisiatif padanan perniagaan khusus untuk PMKS Malaysia dengan PMKS dari luar negara seperti Turkiye. Melalui penyertaan 12 firma dari Turkiye dan 37 PMKS dari Malaysia, sebanyak 42 sesi padanan perniagaan telah berjaya dilaksanakan yang menghasilkan potensi jualan bernilai hampir RM9.6 juta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corp. Malaysia, Rizal nainy, SME Corp. bersedia untuk meneruskan komitmen dalam pembangunan PMKS di peringkat antarabangsa yang diterajui bersama oleh Malaysia dan Turkiye.

“Misi yang dijalinkan adalah jelas – mengukuhkan ikatan hubungan kedua-dua belah pihak, menerajui pembangunan PMKS, dan memanfaatkan potensi besar kepentingan bersama sedia ada,” katanya.

Majlis ini juga telah diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan termasuklah Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel, dan
Naib Presiden KOSGEB, Dr. Fatih Gökyurt.

Kerjasama antara kedua-dua belah pihak ini telahpun bermula sejak MoU pertama dimeterai pada 22 Februari 2011 dan telah diperbaharui pada tahun 2017.

Mesyuarat di antara komuniti perniagaan Malaysia dan Turkiye merentasi beberapa sektor penting termasuklah Makanan & Minuman , industri Halal dan juga Elektrik dan Elektronik (E&E) yang berlandaskan kejayaan usahasama terdahulu.

Misi eksplorasi perdagangan ke Istanbul dan Sakarya pada bulan Februari 2023 yang diketuai oleh SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Islam Antarabangsa Malaysia (MIICCI) serta disokong oleh KOSGEB, telah berjaya menjana
jumlah nilai dagangan hampir RM1.1 bilion.

Statistik terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) telah menekankan kepentingan untuk terus komited dalam usaha mempermudah akses pasaran kepada PMKS. Pada tahun 2022, PMKS mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 11.6 peratus mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan pada kadar 8.7 peratus.

Hasilnya, sumbangan PMKS kepada KDNK meningkat kepada 38.4 peratus, berbanding 37.4 peratus pada tahun 2021.

Dari segi eksport, PMKS Malaysia merekodkan sebanyak RM144.5 bilion nilai dagangan eksport pada 2022. Manakala dari segi pasaran pekerjaan, PMKS mewakili 48.2 peratus daripada landskap pekerjaan Malaysia, melibatkan tenaga kerja seramai 7.59 juta individu.

Oleh itu, usaha dalam memastikan akses serta pengembangan pasaran bagi PMKS menerusi hubungan dua hala adalah penting bagi ekonomi negara. – UTUSAN

Scroll to Top