Rokok seludup dirampas, pemandu lori lari

Rokok seludup dirampas, pemandu lori lari

Tumpat: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 3,350 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM502,500 di Kampung Kok Bedullah di sini, pagi hari ini.

Terdahulu, sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dihampiri sepasukan anggota PGA bersama anggota ronda cegah jenayah dari Balai Polis Tumpat pada 8 pagi.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, anggotanya bertindak menahan kenderaan berkenaan dan kemudiannya pemandunya memberhentikan lori terbabit sebelum melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

“Anggota kami cuba mengesan individu terbabit namun suspek gagal ditemui.

“Hasil pemeriksaan di belakang kenderaan terbabit menemui 67 kotak besar dengan setiap satunya mengandungi 50 karton rokok putih dengan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 670,000 batang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari

ini.

Nor Azizan berkata, kesemua rokok putih itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari Thailand.

Menurutnya, kesemua rampasan itu termasuk kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967,” katanya.

Scroll to Top