Ronaldo buat hal lagi

Ronaldo buat hal lagi

Riyadh: Cristiano Ronaldo sekali lagi mencetuskan kontroversi ketika kelabnya Al-Nassr tewas 1-4 di tangan musuh tradisi Al-Hilal pada final Piala Super Saudi, semalam.

Penantian Ronaldo untuk menjulang trofi domestik pertamanya di Arab Saudi berterusan sejak menyertai Al-Nassr pada 2022.

Selepas Al-Hilal menjaringkan gol keempat, Ronaldo jelas kecewa sehingga melakukan isyarat lucah yang tular di media sosial.

Ronaldo terkejut dan seakan tidak percaya dengan prestasi rakan sepasukan dalam perlawanan itu terutamanya penjaga gol Pinto yang melepaskan jaringan mudah pemain sayap Brazil, Malcolm.

Kapten Al-Nassr itu dilihat menggoyangkan tangan sebelum membuat isyarat tidur manakala isyarat terakhirnya yang meletakkan seketika tapak tangan di belakang punggung mencetuskan kontroversi sehingga mengundang kritikan peminat di media sosial.

Sejurus selepas tamat perlawanan, Ronaldo yang masih berang

terus memasuki bilik persalinan tanpa mengambil pingat perak.

Al-Hilal meneruskan dominasi mereka di Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu walaupun tanpa kehadiran bintang Brazil Neymar yang tersisih sejak Oktober lalu akibat kecederaan ligamen lutut. Mereka akan memulakan misi mempertahankan gelaran liga dengan menentang Al-Okhdood Sabtu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top